X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan nafi keluar PH Plus, UMNO sedia terima pemimpin Warisan

Warisan
A
A

SHAH ALAM - Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan khabar angin bahawa parti itu akan meninggalkan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) Plus sebaliknya perkara itu hanya mahu memecahbelahkan PH Plus.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua menegaskan beliau yakin semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan mempunyai prinsip dan tidak akan berpaling tadah keluar atau melompat parti.

Lorretto dalam satu kenyataan sebelum ini turut menyangkal dakwaan bahawa terdapat ahli Parlimen dari Warisan keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun Warisan tidak pernah berada dalam gabungan PH sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi pendirian Warisan konsisten untuk bekerjasama dengan PH sehingga digelar PH Plus,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan bersama yang berlainan, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Dorell Leiking dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi serta Ahli Parlimen Sepanggar, Mohd Azis Jamman menafikan khabar angin tersebut.

Turut sama menafikan, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma'mun Sulaiman dan Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan serta Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli.

Pada Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan terdapat usaha pemimpin pembangkang di negeri itu yang cuba melobi wakil rakyat Warisan.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, Mohamadin memaklumkan sendiri bahawa sudah menerima tiga kali panggilan daripada bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung perkara terbabit.

"Permainan ini bukan sahaja dimainkan ke atas ahli Parlimen Warisan tetapi ADUN supaya mereka menyokong Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Susulan pendedahan tersebut, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihatkan Mohd Shafie mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

“Kita tidak memainkan peranan untuk menjatuhkan mereka. Apa yang jelas saya lihat wakil rakyat mereka keliru dengan hala tuju yang tidak jelas. Bagi pendapat saya, pada waktu mereka mahu menubuhkan kerajaan suatu ketika dahulu dan kekurangan wakil rakyat bagi membentuk kerajaan.

"Tetapi kita di Barisan Nasional (BN) pada ketika itu ada wakil rakyat melompat menyertai mereka. Tidak pula ralat dan tidak menuduh sana sini kerana kita sedar, ia adalah sebahagian daripada sistem demokrasi," katanya.

Menurutnya, UMNO Sabah tiada halangan untuk menerima pemimpin lama parti itu yang sebelum ini keluar bagi menyertai Warisan dan kini berhasrat untuk kembali menyertai UMNO.

"UMNO Sabah dari dahulu tetap dengan pendirian untuk menerima dan buka pintu kepada sesiapa sahaja. Tiada halangan tetapi perlu mengikut prosedur," katanya.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya hari ini sekali lagi menafikan beliau bakal membuat pengumuman untuk meninggalkan Warisan.

"Kalau khabar angin tentu sekali tidak benar, sebab angin meniup dari segenap arah yang tidak menentu," katanya memetik laporan Malaysiakini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!