Tuduh guna kenderaan kerajaan

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN – Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pahang, Fuziah Salleh menuntut seorang blogger mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam hari ini kerana menuduh beliau menggunakan kenderaan milik kerajaan sewaktu kempen PRK Cameron Highlands.

Fuziah berkata, menerusi satu artikel yang disiarkan di sebuah blog bertarikh 20 Januari 2019, pihak tersebut secara jelas menuduh beliau selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggunakan kenderaan milik Pejabat Hutan Daerah Raub untuk kegiatan kempen PRK P087 Cameron Highlands.

Menurutnya, fitnah yang disiarkan melalui blog tersebut juga telah diviralkan di media-media sosial termasuk di Facebook yang menggunakan nama seorang lelaki.

“Saya dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan mencabar beliau agar tampil dengan berani tanpa berselindung dengan blog dan facebook yang menyembunyikan biodata dirinya.

“Saya menuntut agar beliau memohon maaf dan menarik kembali fitnah yang telah beliau lakukan dalam tempoh 24 jam berkuat kuasa hari ini dan sekiranya beliau gagal berbuat demikian, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk bertindak dengan sewajarnya di dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu beliau menyifatkan kempen pilihan raya yang menjadikan fitnah sebagai bahan untuk mengelirukan pengundi adalah perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau telah mengambil cuti dari tugas di Putrajaya dengan mengisi borang cuti secara rasmi.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menggunakan kenderaan saya sendiri sepanjang tempoh berkempen PRK P078. Saya menyeru kepada semua pengundi di Cameron Highlands agar jangan mudah terpedaya dengan propaganda dan fitnah yang semakin hebat dimainkan menjelang hari pengundian pada 26 Januari ini,” katanya.