Waspada sentuhan penyudah Pogba

Pogba sudah kembali menjalani latihan selepas dibelenggu kecederaan pergelangan kaki.
Pogba sudah kembali menjalani latihan selepas dibelenggu kecederaan pergelangan kaki.
A
A
A

KELIBAT pemain Manchester United, Paul Pogba yang baru pulih kecederaan perlu diberikan perhatian serius sekiranya lawan tidak mahu berputih mata menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dijadualkan bermula 17 Jun ini.

Menurut penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, pemain skuad Perancis berusia 27 tahun itu pada ketika ini telah mendapat suntikan motivasi apabila mula kembali menjalani latihan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk seseorang pemain kembali cergas dalam masa singkat apatah lagi setelah berdepan beberapa siri kecederaan sepanjang musim.

“Tapi Pogba cukup berbeza kerana saya mengetahui kualiti dan mentalitinya tambahan pula apabila mula kembali ke gelanggang.

“Pogba apabila mula masuk ke padang fokus utama dan mentalitinya lebih terarah kepada kemenangan.

“Dia akan melakukan semua yang boleh dilakukan untuk berada pada tahap terbaik bagi membantu Manchester United mengakhiri saingan kelompok empat terbaik liga,” ujar Lloris yang juga rakan sepasukan dalam skuad Les Bleus.

Bekas tonggak Juventus itu sebelum ini dibelenggu kecederaan pergelangan kaki menyebabkannya hanya tampil dalam lapan perlawanan dalam semua pertandingan.

Biarpun begitu penangguhan saingan liga akibat pandemik Covid-19 ternyata memberikan masa untuk Pogba kembali sembuh bagi menggalas sekali lagi cabaran kelab.

Artikel Berkaitan:

Manchester United bakal menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu ketika ini kedua-dua kelab sedang bersaing dalam merebut slot ke Eropah musim depan.

Manchester United kini berada pada kedudukan kelima manakala Tottenham pula ke lapan liga.