Tujuh Ikhtiar Makmur Johor dilancar

Hasni mengadakan sidang media secara langsung di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Hasni mengadakan sidang media secara langsung di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor hari ini mengumumkan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor sebagai langkah berani serta luar kebiasaan bagi mengatasi kegawatan ekonomi akibat daripada belenggu koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ikhtiar pertama adalah penubuhan Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) yang akan mengesyorkan penyelesaian kepada beberapa permasalahan yang ada.

"IJEC berusaha mencipta peluang pekerjaan baharu dan bagaimana Johor dapat mengambil peluang perang dagangan China-Amerika Syarikat yang menyebabkan banyak perusahaan besar mula memindahkan perniagaan mereka keluar dari China.

"Majlis ekonomi ini akan diterjemahkan kepada dasar dan pembawakan ekonomi negeri pada masa hadapan dengan disertai beberapa orang tokoh dan mereka yang pakar dalam bidang ekonomi," katanya pada sidang media secara langsung di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, Johor memerlukan pemikir serta pakar terbaik dalam menyediakan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memulihkan ekonominya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi Johor berdepan tujuh realiti, kata MB

Menurutnya, ikhtiar kedua adalah menjayakan Johor Digital Masterplan dengan kerjasama sektor swasta dalam memastikan keupayaan digital di negeri itu setanding dengan negara-negara maju.

Katanya, matlamat 'masterplan' tersebut adalah untuk mewujudkan bank digital dan kerajaan negeri dalam peringkat awal merangka kerjasama dengan Bank Rakyat untuk merealisasikan kewujudan institusi perbankan terbaharu itu.

Artikel Berkaitan:

"Ikhtiar ketiga adalah menjayakan semula Singapore-Johor-Riau Growth Triangle (SIJO-Kepri) yang akan memberi banyak manfaat. Kita akan berusaha untuk menjayakan perjanjian tripartite ini kembali dan belajar daripada kesilapan lama," katanya.

Sementara ikhtiar keempat ujarnya, adalah Syarikat Pelaburan Johor (JICO) di Singapura yang antaranya dapat memudah cara usaha perdagangan dan pelaburan antara Johor dengan Singapura, melalui bantuan agensi dari Persekutuan, JICO boleh menjadi pusat sehenti kerajaan Johor di Singapura.

Ikhtiar kelima pula katanya, adalah Jajaran Ekonomi Baharu yang meneroka potensi di pantai barat dengan mengambil kesempatan atas pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) terutama stesen-stesen yang melalui Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

"Ikhtiar keenam adalah Inisiatif Bank Makanan Johor. Johor harus mula rancak mengeksport produk-produk makanan ke negara luar seperti Singapura dan Emiriah Arab Bersatu. Johor juga perlu meningkatkan keupayaannya untuk menyediakan keperluan makanan bagi kegunaan sendiri," katanya.

Tambahnya, ikhtiar ketujuh adalah untuk menjayakan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 dan keenam-enam ikhtiar di atas merupakan satu bentuk intervensi serta pemerkasaan ke dalam pelan tersebut.