X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Ekonomi Johor berdepan tujuh realiti, kata MB

Hasni mengadakan sidang akhbar secara langsung di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, Iskndar Puteri, Johor hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ekonomi Johor berada dalam trend menurun sekali gus berdepan tujuh realiti yang sedang dan bakal melanda kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, realiti pertama secara keseluruhan ekonomi Johor melalui penunjuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan akan menguncup pada kadar 0.8 hingga 1.2 peratus.

"Secara kebiasaannya, KDNK Johor akan menguncup lebih banyak daripada kadar nasional. Ini disebabkan oleh kebergantungan dinamik ekonomi negeri kepada Singapura.

"Realiti kedua, sektor hartanah Johor terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain larangan melancong dari China dan Singapura ke Malaysia.

"Negara ini merupakan negara 10 teratas pembeli hartanah terbanyak di Johor bagi tujuan pelaburan," katanya pada sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, realiti ketiga, industri pelancongan turut mendapat tempias negatif malah lebih teruk daripada wabak SARS pada 2003 dan Johor sepatutnya sedang rancak menjayakan Tahun Melawat Johor 2020.

Akibat Covid-19 katanya, Tahun Melawat Johor 2020 terpaksa dilanjutkan sehingga 2022 dan dianggarkan sektor perhotelan kehilangan lebih 17.4 juta pelancong dan 8.4 juta pelawat yang mahu bermalam sekali gus kerugian 30 peratus.

Realiti keempat katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga secara langsung terkesan dan dianggarkan lima hingga 10 peratus PKS terpaksa tutup perniagaan akibat gangguan aliran tunai yang teruk.

Tambahnya, realiti kelima ialah fenomena pengangguran yang bertambah di Johor dengan 173,000 orang bakal kehilangan pekerjaan disebabkan kebergantungan kepada ekonomi Singapura dan keadaan ekonomi Johor yang perlahan, terutama sekali dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.

"Realiti keenam ialah nasib pekerja Johor di Singapura. Dianggarkan sebanyak 415,000 rakyat Johor yang bekerja di sana. Mereka khuatir jika mereka diberhentikan kerja akibat penguncupan ekonomi Singapura lebih-lebih lagi yang bekerja dalam bidang low skill dan low pay," katanya.

Majikan di Singapura ujarnya, sekarang lebih suka untuk menggaji rakyat mereka sendiri menyebabkan rakyat Johor akan lebih sukar untuk diterima kerja di sana pada masa hadapan.

Hasni berkata, realiti ketujuh ialah pola pelaburan asing ke Johor sedang menurun dan memberi kesan kemajuan negeri ini yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka serta amat bergantung kepada keadaan globalisasi.

"Ini menyebabkan pertama, jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan menurun 62 peratus.

"Kedua, jumlah pelaburan asing berkurangan 73 peratus daripada RM24.04 bilion ke RM6.54 bilion dan ketiga, pelaburan domestik jatuh 32 peratus daripada RM6.47 bilion ke RM4.92 bilion," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!