2 kes import baharu Covid-19 di Johor

VIDYANANTHAN
VIDYANANTHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor mencatatkan dua kes import koronavirus (Covid-19) terbaharu semalam melibatkan warga Malaysia yang pulang dari Singapura dan Indonesia.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah pun merujuk kedua-dua pesakit berkenaan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Ini menjadikan sehingga semalam jumlah kumulatif kes positif di Johor adalah sebanyak 680 kes dan enam daripadanya kes aktif.

"Dengan itu, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 654 kes.

"Tiada kematian baharu dilaporkan semalam dan jumlah kematian akibat Covid-19 masih 20 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selain memerangi Covid-19, pihaknya juga berdepan kes denggi yang kini berjumlah 4,371 kes di Johor sehingga 6 Jun lalu.

Katanya, kes paling tinggi adalah di Johor Bahru iaitu 80.7 peratus diikuti Kluang (3.6 peratus), Kulai (3.3 peratus), Segamat (3.3 peratus), Batu Pahat (2.6 peratus), Mersing (2.3 peratus), Kota Tinggi (1.3 peratus), Muar (1.2 peratus), Pontian (0.9 peratus) dan Tangkak (0.9 peratus).

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 2,099 kes (48 peratus) adalah daripada lokaliti wabak denggi.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga kini adalah 605.

"Terdapat 61 lokaliti wabak denggi yang masih aktif dilaporkan iaitu di Johor Bahru (56 lokaliti), Kluang (empat lokaliti) dan Mersing (satu lokaliti)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 18 kematian akibat denggi dilaporkan sehingga kini pada tahun ini dan 12 mangsa meninggal dunia (66.7 peratus) berusia antara 20 hingga 59 tahun sekali gus merupakan usia yang produktif.

Beliau yang menyifatkan perkara itu sebagai membimbangkan memberitahu penyumbang utama kematian dikenal pasti adalah kerana faktor kelewatan mendapat rawatan.

"Dengan itu diingatkan agar sesiapa yang mempunyai gejala seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan sendi serta ruam-ruam di badan, perlu segera mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran," ujarnya.

Vidyananthan berkata, langkah-langkah tindakan kawalan sudah pun diambil pihaknya untuk memastikan tiada penyebaran virus denggi.

Katanya, masyarakat turut digesa untuk memberi sepenuh kerjasama kepada usaha kawalan yang dijalankan di lokasi mereka dengan membersihkan persekitaran rumah daripada bekas-bekas berpotensi pembiakan aedes dan melindungi diri daripada gigitannya.