X

Kindly register in order to view this article
!

Pokok lidah jin dalam rumah boleh jejas kesihatan

Pemilik NCS Craft Garden Landskap, Meizi Chong, 32, menyusun pokok lidah jin atau juga dikenali pokok lidah mentua di sebuah tapak semaian di Jalan Kuala Kangsar baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Pokok lidah jin atau juga dikenali sebagai pokok lidah mentua semakin mendapat tempat di hati kaum wanita untuk dijadikan dekorasi di dalam rumah.

Bagaimanapun, seorang ahli Kimia, Dr Fatimah Salim melahirkan kebimbangan penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata di dalam rumah lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikroorganisma seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

"Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata. Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).

"Sebab itu tanah tidak sepatutnya di simpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Dr Fatimah yang juga pensyarah kanan kimia, Pusat Asasi UiTM, Dengkil, Selangor berkata, terdapat alternatif kepada tanah jika ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, 'perlite' iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

"Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri.

"Aktiviti mikoorganisma mudah dikesan iaitu dengan kehadiran bau kurang menyenangkan daripada bekas atau bahagian yang terendam seakan berlumut," jelasnya.

Sementara itu, Pusat Racun Negara pada 7 Jun lalu memuat naik status di laman Facebook rasmi menasihati orang ramai terutama jika mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

"Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil, mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan," menurut status itu.

Tinjauan Bernama di sebuah tapak semaian di Jalan Kuala Kangsar di sini mendapati, permintaan terhadap pokok lidah jin meningkat selepas ia tular antaranya dikatakan boleh membersihkan udara sehingga menyebabkan pengusaha kerap menambah bekalan yang diperoleh dari Cameron Highlands.

Pemilik NCS Craft Garden Landskap, Meizi Chong, 32, berkata, beliau menjual pokok itu sejak mula beroperasi tiga tahun lepas, namun permintaan sekarang disifatkannya sebagai luar biasa disebabkan tanaman itu kini tular di media sosial.

"Selepas tular, kadang-kadang sehari sampai 10 orang datang cari dan beli, kalau sebelum ini agak kurang," katanya yang menjual pada harga antara RM8 hingga RM40 mengikut saiz dan lengkap dengan pasu.

Menurut Meizi, penjagaan pokok itu amat mudah, ia hanya perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali seminggu, membuang daun yang kering dan tanaman itu boleh hidup untuk tempoh yang panjang jika diletakkan di tempat sesuai.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!