Gadis pengembala kambing

Maisarah membelai manja kambing kesayangannya.
Maisarah membelai manja kambing kesayangannya.
A
A
A

MARANG - Ketika rakan sebayanya masih mencari hala tuju dan pekerjaan yang lebih baik, gadis dari Rhu Rendang, Marang ini lebih selesa 'berkawan' dengan kambing dengan menjadi pengembala.

Tidak kekok menjaga, membelai, memberi makan dan memandikan kambing kesayangannya, Wan Noor Maisarah Wan Nelang, 21, berkata, beliau lebih selesa dengan dunia barunya itu.

Menurut Maisarah, beliau pada mulanya hanya membela dua ekor kambing pada April tahun lalu dan kini ia sudah bertambah kepada 20 ekor.

"Selepas ayah saya, Wan Nelang Wan Abd Rahman, 57, pencen, dia membeli dua ekor kambing. Saya mulanya hanya membantu ayah tetapi lama kelamaan, saya berasa ia satu kerja yang menyeronokkan.

"Tambahan pula saya sudah tamat belajar di GiatMara Kuala Terengganu, saya kemudiannya ambil keputusan untuk terus serius dengan bidang penternakan kambing susu.

"Tidak sangka, sudah hampir setahun saya menggembala kambing, sekarang ini kambing juga sudah bertambah kepada 20 ekor," kata anak kelima daripada sembilan beradik ini.

Maisarah menunjukkan anak kambing yang baru dilahirkan.
Maisarah menunjukkan anak kambing yang baru dilahirkan.

Jelasnya, kambing yang dibelanya terdiri daripada pelbagai jenis, antaranya jamnapari dan dari baka Australia.

Artikel Berkaitan:

Menariknya, kambing-kambing kesayangannya itu mempunyai nama panggilan atau nama manja, antaranya Dollah, Ola, Oli, Jamna, Ora dan Ori.

Menternak kambing susu katanya, agak rumit kerana makanannya perlu teratur dan tidak boleh diberi makan sembarangan kerana ia boleh menjejaskan kualiti susu yang dihasilkan.

Selain itu, penjagaan kesihatan perlu dititikberatkan dan susu perlu sentiasa diperah, iaitu pada waktu pagi dan petang

"Biasanya rutin harian saya bermula jam lapan pagi dengan memerah susu dan memberi makan dedak dan daun seperti daun pisang, kelapa dan rumput napier.

"Pada waktu tengah hari, kambing akan diberikan makan dedak manakala kambing ibu akan diberikan makan soya.

"Sebelah petangnya pula, kambing-kambing ini akan diberikan makan daun sekali lagi," katanya.

Antara susu kambing yang dijualnya Maisarah.
Antara susu kambing yang dijualnya Maisarah.

Selain memelihara kambing, beliau kini turut menjalankan perusahaan susu kambing pelbagai perisa, berharga antara RM3.50 hingga RM8.

Maisarah turut memasang impiannya untuk membesarkan lagi perusahaan kambingnya kerana melihat potensi dalam bidang penternakan kambing.