Covid-19: Kes meningkat, 43 kes baharu direkodkan

 Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 43 kes baharu koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini dengan satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu meningkat kepada 8,445 orang.

"Ingin dimaklumkan daripada 43 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

"Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara manakala 15 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.

Dalam pada itu, satu kematian baharu yang dilaporkan itu membabitkan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 96 tahun di Sabah.

Menurutnya, pertambahan satu kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 120 orang.

"Beliau telah meninggal dunia pada 12 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah. Saringan ujian Covid-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 143 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,311 kes atau 86.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.