Bekas Perunding Unit Amanah dipenjara 6 bulan, denda RM4 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perunding Unit Amanah, Afkariah Md Noraini dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM4 juta oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur semalam selepas memperdayakan empat individu membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM50,000.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, Afkariah, 49, disabitkan kesalahan atas empat pertuduhan di bawah seksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Menurut SC, Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memerintahkan hukuman penjara bagi empat pertuduhan itu berjalan secara serentak.

Afkariah yang mengaku bersalah menipu empat individu itu juga akan menjalani hukuman penjara selama empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berjumlah RM4 juta.

"Mangsa diperdaya untuk melabur dalam skim pelaburan yang kononnya dijamin RHB Investment Bank Bhd (RHBIBB) dan menjanjikan pembayaran dividen bulanan sebanyak dua hingga tiga peratus.

"Skim pelaburan itu tidak pernah wujud. Wang yang dibayar pelabur dimasukkan ke dalam akaun dagangan saham Afkariah di RHBIBB, digunakan untuk transaksi saham peribadinya," menurut kenyataan itu.

Justeru, SC mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi luar biasa.

"Sekiranya skim itu mendakwa bahawa ia adalah berkaitan dengan pengantara berlesen, pelabur disarankan agar mengesahkan kesahihan skim itu dengan pengantara berlesen berkenaan atau dengan SC," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: