X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

MOT perlu semak harga tiket kapal terbang: Shahir

Shahir Adnan
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pengangkutan digesa menyemak kembali senarai tambang tiket penerbangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikatakan tidak masuk akal.

Ketua Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya memandangkan kenaikan tersebut berlaku dalam waktu harga bahan api dunia masih di paras rendah.

"Secara amnya, rakyat tidak dapat melakukan penerbangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana dikenakan sekatan merentas negeri dan pintu keluar negara ditutup.

"Rakyat yang berdisiplin sememangnya telah membuat perancangan awal untuk membeli tiket bercuti seawal tahun sebelum PKP dilaksanakan dan ketika PKP dan PKPB dilaksanakan, mereka masih patuh kepada arahan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Isu harga tiket mahal akan dibincang'

"Ini bermakna, tiket penerbangan mereka yang telah dibeli awal tidak dapat digunakan. Namun begitu, syarikat-syarikat penerbangan bersikap pentingkan diri sendiri kerana tidak memberikan kelonggaran kepada rakyat kita yang berdisiplin dan patuh ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, alasan hanya memberikan 'credit note' dengan tempoh sah laku terhad sebenarnya menganiaya pengguna dalam keadaan destinasi yang terhad ketika tempoh PKPP kali ini.

Malah, katanya, Suruhanjaya Penerbangan dan Tribunal Pengguna telah dihubungi dan jawapan yang diberikan kepada rakyat amat mendukacitakan.

"Seharusnya mereka menjuarai isu rakyat dan bukan hanya sekadar menyatakan rasa simpati dalam notis jawapan mereka dalam aduan rakyat tanpa ada sebarang usaha dilakukan untuk melindungi pengguna.

"Rakyat dari Sabah dan Sarawak pula terpaksa menghadapi isu kenaikan harga penerbangan yang mendadak pada waktu PKPP kali ini. Peningkatan sebanyak tiga hingga empat kali ganda amat mendukacitakan.

"Rakyat perlu diberikan penjelasan peningkatan harga tersebut. Adakah rakyat terpaksa menanggung harga tiket disebabkan penjarakan sosial dalam penerbangan? Bayangkan, harga tiket ke Sarawak dari Semenanjung kini menyamai harga tiket ke London.

"Diharapkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia melindungi hak rakyat dengan misi mereka untuk menggalakkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!