X

Kindly register in order to view this article
!

Perlis lancar imarah jemaah maksimum di masjid

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat melancarkan program imarah penambahan jemaah masjid.
A
A

ARAU - Rakyat Perlis menyambut baik peraturan ibadat termasuk mengimarahkan masjid yang diumumkan Rabu lalu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, walaupun masjid tidak dapat diimarahkan seperti biasa, namun peraturan itu disambut baik dan dipatuhi rakyat.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran bilangan jemaah maksimum masjid seluruh Perlis bermula Subuh pagi semalam.

Baginda berdua tiba di Masjid Negeri Arau pada jam 5.40 pagi diiringi anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail sebelum menunaikan solat Subuh secara berjemaah diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan dan Imam Besar Perlis, Ustaz Sirajuddin Abdul Satar.

Selesai solat, baginda berkenan berangkat ke Perpustakaan Masjid untuk mendengar 'Kuliah Tujuh Minit (KulTum)' disampaikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disiarkan secara dalam talian di laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Perlis adalah antara negeri terawal menambah bilangan jemaah semua solat lima waktu dan solat Jumaat kepada masyarakat dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial 2 meter.

Rakyat Perlis amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang memperkenankan penambahan jemaah maksimum kepada masyarakat.

Sebelum ini, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, jumlah jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid seluruh Perlis dipertingkatkan kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing dengan pematuhan SOP dan penjarakan 2 meter.

Antara syarat kelayakan jemaah adalah berusia antara 18 hingga 59 tahun, tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius serta tempoh pelaksanaan solat bermula azan hingga selesai dikekalkan dengan solat Jumaat 15 minit manakala solat fardu hanya 10 minit.

Pelaksanaan aktiviti lain seperti ceramah dan kuliah masih belum dapat dibenarkan buat masa ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!