New Zealand akur desakan turunkan patung kontroversi

Patung Kapten John Fane Charles Hamilton diturunkan selepas menerima permintaan rasmi penduduk peribumi Maori. - Foto Agensi
Patung Kapten John Fane Charles Hamilton diturunkan selepas menerima permintaan rasmi penduduk peribumi Maori. - Foto Agensi
A
A
A

WELLINGTON - Bandar Hamilton di New Zealand hari ini menurunkan patung komander tentera era kolonial sekali gus menyertai langkah sama yang dilakukan di beberapa negara sebagai respons terhadap protes antirasisme yang bermula di Amerika Syarikat.

Sebuah kren digunakan untuk mengangkat arca gangsa Kapten John Fane Charles Hamilton dari dataran bandar terbabit selepas diminta penduduk Maori dan berdepan ancaman kumpulan protes antiperkauman.

Tindakan itu turut mendapat sorakan sekumpulan kecil individu yang menyaksikan langkah tersebut.

Majlis Perbandaran Hamilton dalam satu kenyataan memaklumkan patung itu dilihat mewakili ketidakharmonian budaya dan penindasan.

“Kami tidak boleh mengabaikan apa yang sedang berlaku dan dalam masa sama cuba untuk membina toleransi dan persefahaman,” kata Datuk Bandar Paula Southgate.

Difahamkan, Hamilton merupakan komander tentera laut yang berperang dengan kaum peribumi Maori yang mempertahankan tanah mereka daripada penjajahan British pada abad ke-19.

Patung tersebut disumbangkan kepada majlis perbandaran terbabit pada 2013 dan keputusan menurunkannya dibuat selepas menerima permintaan rasmi puak Waikato-Tainui. - AFP

Artikel Berkaitan: