Kelab EPL tanggung rugi RM5.39 bilion angkara Covid-19

No Image Caption
A
A
A

Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka kehilangan pendapatan 1 bilion pound (RM5.39 bilion) dalam akaun mereka musim ini akibat krisis pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurut firma perkhidmatan kewangan Deloitte, kesemua 20 kelab liga utama Inggeris itu akan mengalami kerugian tetap 500 juta pound (RM2.6 bilion) yang terdiri daripada rebat kepada penyiar dan kehilangan hasil pertandingan ekoran penangguhan liga sejak Mac lalu.

Deloitte turut menjangkakan RM2.6 bilion itu akan 'hilang secara kekal' dengan selebihnya 'ditangguhkan' sehingga 2020/2021 jika saingan musim ini dan seterusnya dapat diselesaikan.

Kelab-kelab EPL juga diunjurkan akan memperoleh sekitar separuh daripada jumlah yang biasanya mereka peroleh pada hari perlawanan musim 2020/2021 dengan anggaran 350 juta pound (RM1.9 bilion) akan hilang jika penyokong tidak dapat hadir kembali ke stadium.

Bulan lalu, Manchester United memaklumkan bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan mereka menanggung kos 28 juta pound (RM150 juta). Namun, kelab gergasi Inggeris itu menjangkakan angka akhir adalah jauh lebih tinggi.

Ketua kumpulan perniagaan sukan Deloitte, Dan Jones berkata, wabak Covid-19 yang berterusan akan menyebabkan penurunan pendapatan dan kerugian operasi di seluruh bola sepak Eropah dalam hasil kewangan musim ini.

"Kelab-kelab mesti menghadapi banyak kesan kewangan termasuk rebat atau penangguhan pendapatan komersial dan siaran selain kehilangan pendapatan hari pertandingan," jelasnya.

Artikel Berkaitan: