Selangor buka pasar pagi, pasar malam dan bazaria 15 Jun ini

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan untuk membuka semula perniagaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih bermula 15 Jun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, waktu operasi bagi pasar pagi, pasar terbuka dan pasar tani sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini adalah bermula pada jam 6 pagi hingga 11 pagi manakala pasar malam pula bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Beliau berkata, operasi bazaria pula hanya dibenarkan bermula pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

"Memandangkan operasi struktur kategori perniagaan ini berbeza-beza di setiap lokasi, kerajaan negeri bersetuju agar kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria dalam tempoh PKPP ditentukan oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor mengikut kesesuaian atau keupayaan di kawasan masing-masing dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi pelaksanaan itu, Sze Han berkata, peniaga dilarang menggunakan khidmat warga asing dalam aktiviti perniagaan mereka.

Beliau berkata, jumlah peniaga termasuk pembantu terhad kepada tiga orang sahaja dan hanya dua orang pengunjung bagi satu keluarga sahaja dibenarkan masuk ke kawasan pasar.

"Pengunjung mestilah berumur 13 tahun ke atas sahaja dan mereka tidak tertakluk kepada had tempoh maksima, namun digalakkan tidak terlalu lama dan segera beredar setelah selesai urusan pembelian," katanya.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, semua pihak disaran agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, mematuhi penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penggunaan sistem SELangkah juga akan dilaksanakan di setiap lokasi dalam usaha membantu pihak berwajib untuk pengesanan punca kontak (contact tracing).

"PBT Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penutupan operasi perniagaan atau lain-lain tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang sekiranya didapati terdapat pelanggaran SOP oleh mana-mana pihak," katanya.