Mahu buat pinjaman, duit sendiri RM180,000 lesap

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN- Seorang kakitangan sebuah syarikat pengangkutan mendakwa kerugian lebih RM180,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan nama sebuah bank untuk menipu dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Mangsa berusia 39 tahun membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera semalam selepas rasa tertipu kerana wang dipinjam berjumlah RM230,000 tidak dapat sebaliknya wang sendiri pula lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang berlesen atas nama sebuah bank yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.

Menurutnya, mangsa melayari laman sosial itu pada 27 Mei lalu dan berhasrat membuat pinjaman dengan meletakkan nombor telefon miliknya di ruangan komen iklan tersebut.

"Mangsa kemudian dihubungi empat individu dengan nama Daniel Ng Keng Fong, Kelvin, Mike dan Alfred yang menggunakan nombor telefon berbeza bagi urusan pinjaman itu.

"Sebelum pinjaman itu diluluskan, mangsa diminta membuat beberapa bayaran proses secara berasingan atas arahan keempat-empat suspek,"katanya.

Mohd Wazir berkata, bagi memastikan pinjamannya diluluskan, mangsa membuat bayaran melalui Daniel Ng Keng Fong berjumlah RM3,530, Kelvin (RM76,400) Mike (RM30,000) dan Alfred (RM70,300).

"Semua bayaran itu dibuat melalui akaun bank atas nama individu lain dan bukan atas nama suspek terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selepas semua bayaran dibuat, mangsa gagal mendapat wang yang dipinjam sedangkan jumlah bayaran bagi urusan itu hampir dengan jumlah pinjaman dibuat.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa semalam, kita buka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama kita sedang mengesan semua pemilik nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan,"katanya.