Industri buluh sumber ekonomi baharu negara: Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri perkayuan berasaskan buluh dan industri pemprosesan makanan daripada rebung pastinya memberi pulangan ekonomi serta peluang pekerjaan yang baik di samping dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

Seorang pemerhati pasaran buluh negara dan bekas wartawan, Shukri Rahman berkata, buluh sebagai tanaman komoditi bukan sahaja mempunyai ketahanan tinggi terhadap makhluk perosak dan penyakit mala mampu menyerap empat kali lebih banyak karbon dioksida serta melepaskan kira-kira 35 peratus lebih tinggi oksigen berbanding tanaman lain.

Shukri menemubual Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Mohd Kheiruddin Mohd Rani baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai potensi industri buluh menjadi sumber ekonomi baharu negara seiring dengan aspirasi Dasar Perindustrian Kayu Kebangsaan dan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2.0.

Mohd Khairuddin berkata, Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2.0 (2021-2030) yang dijangka dapat dikeluarkan pada Oktober depan akan menggariskan program yang komprehensif bagi pembangunan industri buluh di Malaysia serta menjadikannys industri berskala besar sama ada di peringkat huluan dan hiliran.

Beliau berkata, bagi tujuan penyelarasan semua aktiviti yang akan dicadangkan dalam pelan tindakan itu, sebuah Jawatankuasa Pemandu akan ditubuhkan di peringkat kementerian untuk memantau semua pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2.0.

“Hasrat kita adalah untuk menjadikan industri berasaskan buluh sebagai satu sumber ekonomi baharu negara serta menjadi bahan mentah alternatif dari sumber hasil hutan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, satu model ladang buluh juga akan diwujudkan di Terengganu dengan peruntukkan sebanyak RM5 juta, projek kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan dibangunkan di atas tanah seluas 15 hektar, lima spesis buluh akan ditanam iaitu buluh semantan, buluh betong, buluh beting, buluh beti dan buluh hitam.

"Projek itu bertujuan menjadikan buluh sebagai bahan mentah alternatif, ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025," katanya dan menjelaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 terdapat beberapa permohonan untuk pembangunan industri buluh dan ia mendapat maklum balas yang positif.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, beberapa aktiviti lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan bermula pada tahun ini oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan MTIB, antaranya ialah projek Pembangunan Tapak Semaian Buluh dan Makmal Tisu Kultur buluh di Lahat, Perak yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2020 serta dianggarkan akan mengeluarkan sebanyak 100,000 anak benih buluh pada satu masa.

Sementara itu, Ketua Pengarah MTIB Mohd Kheiruddin Mohd Rani berkata, ketika ini telah ada beberapa syarikat besar yang berminat untuk menjadikan buluh sebagai industri, ia petanda baik untuk industri buluh Malaysia.

"Sehingga 2016 pemain industri buluh hanya terdiri daripada pengusaha mikro namun sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini terdapat penglibatan pemain industri berskala besar dan ketika ini telah muncul segmen huluan dan hiliran dalam industri buluh negara," katanya.

Beliau berkata, antara syarikat-syarikat yang terlibat dengan perladangan buluh pada masa ini adalah New Generation Bamboo (Nami, Sik Kedah – tanah di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Subur Tiasa Sdn. Bhd. (Sabal, Sarawak) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA). - Bernama