X

Kindly register in order to view this article
!

'Lebih banyak pendedahan akan dibuat selepas ini'

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali
A
A

SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan lebih banyak pendedahan akan dibuat beliau selepas ini susulan pendedahan pertama semalam berkaitan Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Memetik portal Twentytwo13, Mohamed Apandi dilaporkan berkata, pendedahan di Facebooknya bertajuk 'Prelude to a chapter in my memoirs!' semalam hanyalah permulaan untuk lebih banyak lagi siri pendedahan yang akan dilakukan.

"Saya mempunyai 'banyak benda untuk diperkatakan' dan anda akan membacanya di dalam catatan memoir saya.

"Bab ini mengenai Gopal Sri Ram hanyalah sebahagian kecil daripada cerita saya. Terdapat banyak perkara lain seperti insiden Pulau Batu Puteh...mengapa Dr Mahathir menarik balik kes itu pada saat-saat akhir sedangkan semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran kes.

"Banyak, banyak cerita... banyak yang perlu ditulis, banyak yang boleh diceritakan," katanya kepada portal berkenaan.

Terdahulu, Mohamed Apandi mendakwa Dr Mahathir pernah cuba memujuknya agar menangkap Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.

Menerusi Facebooknya semalam, Mohamed Apandi mendakwa permintaan itu dibuat Dr Mahathir menerusi Gopal Sri Ram yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Apandi Ali dakwa Tun M hantar Gopal Sri Ram pujuk tangkap Najib

Menurut laporan Twentytwo13 lagi, Mohamed Apandi memberitahu, beliau membuat kenyataan semalam kerana mahu orang ramai mengetahui kebenaran.

Jelasnya, pendedahan itu hanya dibuat sekarang selepas beliau mendapati Gopal Sri Ram berperangai seolah-olah beliau adalah Peguam Negara sedangkan hakikatnya beliau bukan Peguam Negara.

"Saya tidak berdendam dengannya tetapi masyarakat perlu tahu.

"Ini adalah pendedahan pertama. Tidak ada sesiapa yang tahu perkara ini sebelum ini dan saya tidak takut sesiapa melainkan kepada ALLAH," katanya.

Mohamed Apandi dilaporkan berkata, beliau hanya menyatakan kebenaran dan semuanya dirakam (pertemuan dengan Gopal Sri Ram).

"Sekiranya anda membaca catatan saya, saya mempunyai CCTV dan saya mempunyai tujuh pengawal peribadi ketika kejadian dan mereka semua dari (polis) Cawangan Khas. Semuanya dirakam,” katanya.

Selain itu, Mohamed Apandi berkata, beliau belum mempunyai perancangan untuk membuat laporan polis dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Malah beliau turut menolak pendedahannya itu sebagai tindakan bermotif politik selain menekankan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan UMNO sejak tahun 2003 selepas beliau menjawat jawatan pesuruhjaya kehakiman yang menghalangnya mempunyai perkaitan dengan mana-mana parti politik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus