X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Malindo Air sambung semula operasi penerbangan domestik

A
A

KUALA LUMPUR - Malindo Air menyambung semula penerbangannya ke hampir semua destinasi domestik di Malaysia bermula esok apabila kerajaan melonggarkan secara berperingkat peraturan ke atas perjalanan dan sekatan sosial.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan berjadual yang disambung semula operasi termasuklah penerbangan harian daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Kota Bharu; Pulau Pinang; Alor Setar; Johor Bahru; Kuala Terengganu; dan Langkawi, manakala perkhidmatan Ipoh ke Johor Bahru akan disambung dengan tiga penerbangan seminggu.

“Penerbangan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu; Kuching dan Langkawi juga akan disambung sepenuhnya,” kata Malindo Air.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pembukaan berperingkat perjalanan udara dijangka progresif bermula dengan pasaran domestik.

“Kami sudah pastinya akan menyambung semula perkhidmatan antarabangsa kami dalam rangkaian secara berperingkat sebaik sahaja situasi kesihatan global bertambah baik dan sekatan kawal selia ditarik balik sepenuhnya.

“Kami berharap pengembara akan bersemangat untuk memulakan semula perjalanan tidak lama lagi, yang akan memberi manfaat kepada industri sekali lagi,” katanya sambil menambah pengembara yang menggunakan perkhidmatan penerbangan dengan Malindo Air perlu memahami dan mematuhi dengan ketat syarat-syarat kesihatan dan imigresen dan sekatan perjalanan yang ditetapkan kerajaan.

“Pemulaan semula perjalanan domestik kami ini susulan penarikan semula sekatan perjalanan adalah bahagian penting dalam pemulihan ekonomi kerana kira-kira 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia adalah daripada pelancongan dan kebanyakannya daripadanya bergantung kepada perjalanan udara,” katanya.

Malindo juga menawarkan promosi Balik Raya dengan tambang sehala bermula daripada RM199 bagi perjalanan dalam Semenanjung Malaysia dari Lapangan Terbang Subang; tambang sehala bermula daripada RM289 bagi perjalanan antara KLIA dan Kuching; dan tambang sehala bermula daripada RM389 dari KLIA ke Kota Kinabalu dengan tempoh tempahan dan perjalanan dari sekarang sehingga 21 Jun 2020.

Malindo Air ingin mengulangi bahawa pelanggan yang penerbangannya dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19 akan dapat mengekalkan nilai penuh bahagian tiket mereka yang tidak digunakan dalam bentuk Baucar Perjalanan yang tempoh penebusan dilanjutkan kepada 12 bulan manakala tempoh perjalanan sehingga 11 bulan.

“Penumpang yang menebus baucar beliau pada Mac 2021 boleh menempah penerbangan sehingga Februari 2022.

“Malindo Air juga membenarkan penumpang memindahkan nilai Baucar Perjalanan kepada keluarga dan rakan-rakan atau menggunakannya sebagai Baucar Hadiah,” kata syarikat penerbangan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!