Dewan Perniagaan Cina Labuan serah memorandum

Datuk Wong Kii Yii
Datuk Wong Kii Yii
A
A
A

LABUAN - Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan meminta beliau campur tangan dalam beberapa isu ekonomi yang dihadapi kalangan perniagaan tempatan.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden LCCC, Datuk Wong Kii Yii kepada Annuar sewaktu lawatan kerja beliau ke pulau tersebut baru-baru ini.

Antara isu yang dibangkitkan dalam memorandum itu termasuk keperluan insentif kementerian itu seperti pengecualian sewa enam bulan bagi premis milik kerajaan yang disewa oleh perniagaan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

“Perniagaan tempatan kini dibebani oleh hutang serta tunggakan pembayaran gaji kakitangan, caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran sewa bulanan. Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum ini telah menyatakan bahawa sewaan premis milik kerajaan akan dikecualikan semasa tempoh PKP, namun malangnya ini tidak berlaku di Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut meminta penyelesaian membabitkan kelulusan permit import minuman keras yang menyebabkan lambakan di Pelabuhan Labuan dan menyebabkan kerugian ribuan ringgit akibat caj yang dikenakan.

“Kami juga meminta campur tangan Menteri Wilayah Persekutuan untuk membawa isu tersebut kepada pengetahuan Menteri Kewangan membabitkan ketetapan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya semua perniagaan menyerahkan kenyataan akaun dalam masa 14 hari yang merupakan tempoh amat singkat.

“Ini kerana perniagaan tempatan memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi menyediakan dokumen yang ditetapkan LHDN...jangka masa 14 hari selepas menerima surat LHDN adalah terlalu pendek, apalagi dengan jadual pengendalian perniagaan yang padat,” katanya.

Kii Yii juga berpendapat cukai korporat perlu dikurangkan dan setara dengan kadar peratusan yang dinikmati oleh kalangan penggiat industri luar pesisir Labuan.

Artikel Berkaitan:

“Kami turut meminta perhatian Menteri untuk merealisasikan hasrat perniagaan Labuan supaya pulau itu tidak hanya berstatus bebas cukai, tetapi juga zon perdagangan bebas pengimport tempatan dikecualikan daripada keperluan mendapatkan dokumen kelulusan permit Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk mengeksport barangan ke negara ketiga,” katanya.

Beliau juga optimis Labuan mampu mengecapi semula kejayaannya sekiranya aktiviti barter dan perniagaan pemunggahan barangan yang digantung pada 2016 dapat diperkenalkan semula.

“Aktiviti terbabit telah menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan serta penggajian tempatan untuk lebih 30 tahun lamanya sebelum digantung dan dipindahkan ke Sandakan, Sabah.

“Kami berharap aktiviti perniagaan barter itu dapat diluluskan bagi memacu semula ekonomi tempatan dan Labuan khususnya,” katanya. - Bernama