Tiada kantin 'cekik darah' di Kelantan

KPDNHEP
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengesan tiada kenaikan harga makanan dan minuman di kantin sekolah sepanjang pemeriksaan dilakukan susulan isu kenaikan harga makanan yang dilakukan oleh pengusaha kantin sebelum ini.

Pengarahnya Khalid Tik berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan tersebut sejak dua minggu lepas bagi mengenal pasti pengusaha kantin yang menaikkan harga makanan kepada murid dan pelajar sekolah.

"Sebanyak 43 buah kantin sekolah di seluruh negeri ini telah kami lakukan pemeriksaan, namun kami mendapati harga yang disediakan oleh pengusaha kantin masih munasabah.

"Kita juga tidak menerima sebarang aduan daripada ibu bapa pelajar berhubung isu tersebut di negeri ini," katanya pada sidang media Penguatkuasaan Halal di Premis Restoran di Pejabat KPDNHEP Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat aduan pengguna berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah, selain tindakan segelintir pengusaha kantin yang tidak meletakkan tanda harga pada makanan.

Khalid berkata sepanjang pemeriksaan itu, majoriti pengusaha kantin sekolah mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita berpuas hati berikutan mereka bertanggungjawab termasuk mempamerkan senarai harga makanan dan minuman," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata sepanjang penguatkuasaan halal yang dilakukan sejak 13 Januari lalu tiada kes premis yang menyalahgunakan sijil halal di negeri ini oleh pemilik restoran.

"Kami telah melakukan pemeriksaan ke atas 41 premis restoran dan premis makanan segera iaitu meliputi 32 premis pemilik beragama Islam dan sembilan premis lagi dimiliki bukan muslim.

"Kita turut memberikan tumpuan kepada restoran Thailand selain restoran 'mamak'," katanya. - Bernama.