Polis Marin rampas RM7 juta rokok, arak seludup

Mohd Yusoff Mamat
Mohd Yusoff Mamat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas minuman keras, rokok seludup serta barang terlarang yang lain di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan nilai lebih RM7 juta melibatkan 29 kes dari Januari lalu sehingga hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu, 18 kes melibatkan rampasan 271,213 peket rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.5 juta.

"Ini juga melibatkan lapan kes rampasan 2,236 tin, 1,511 botol, dua kotak dan 1,819 liter minuman keras pelbagai jenama yang membabitkan nilai dianggarkan RM627,194," katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Turut hadir Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad dan Timbalannya, Superintendan Noor Azman Jamal.

Beliau berkata, rampasan aset pula yang dilakukan pihak PPM Wilayah Dua bagi tempoh tersebut melibatkan 12 buah kenderaan dengan nilai dianggarkan RM881,500.

Menurutnya, suspek yang ditahan sepanjang enam bulan pertama itu membabitkan 25 individu terdiri daripada 20 warga tempatan dan lima warganegara asing.

Beliau berkata, seramai 24 orang ditangkap menerusi Op Benteng Covid PPM Wilayah Dua Johor dari 1 April lalu hingga semalam dengan kesalahan paling banyak dilakukan dan disiasat adalah di bawah Akta Imigresen 1959/63 diikuti Akta Kastam 1967 (lima) dan Akta Dadah Berbahaya 1952 (empat).

Katanya, ini termasuk tiga masing-masing di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988; Akta Racun 1952 dan Akta Perikanan 1985 selain satu masing-masing di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel Berkaitan:

"Nilai rampasan keseluruhan Ops Benteng Covid PPM Dua Johor bernilai kira-kira RM1.9 juta," katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi selepas ini kerana aktiviti penyeludupan dijangka kembali dilakukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan akan membolehkan penyeludup mengambil kesempatan untuk aktif semula.

Tambahnya, beliau memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan pesisiran pantai.

"PPM Wilayah Dua juga dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta balai-balai akan bertindak tegas termasuk menggempur premis atau outlet dalam operasi khas bagi membanteras rokok haram," katanya.