PKPP: Tiga SJR di Melaka masih beroperasi 24 jam

Hasan Basri ketika meninjau aliran trafik berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah hari ini.
Hasan Basri ketika meninjau aliran trafik berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis Melaka masih mengekalkan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi negeri ini dalam usaha memastikan Melaka tidak dibolosi anasir luar.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ia penting supaya aktiviti penyeludupan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak berlaku di negeri ini.

"Tiga lokasi SJR, dua di daerah Alor Gajah dan satu di daerah Jasin dikesan menjadi lokasi 'hotspot' penyeludupan migran terutama melalui jalan laut.

"SJR di Kuala Linggi, Pengkalan Balak dan di Sungai Rambai, Jasin beroperasi dalam tempoh 24 jam," katanya selepas membuat rondaan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini hari ini.

Menurutnya, pasukannya yakin aliran trafik ke Melaka meningkat menjelang hujung minggu ini selepas pengguna dibenarkan merentasi negeri terutama di plaza tol dan di kawasan bandar.

Hasan Basri Yahya
Hasan Basri Yahya

"Pada masa sama pemantauan dan rondaan akan diteruskan termasuk di lebuh raya selain pasukan peronda juga akan membuat pemantauan ketat di kawasan-kawasan tumpuan pelancong terutama di Bandaraya Melaka.

"Kita berharap pengguna dapat mematuhi undang-undang jalan raya dan berhemah ketika memandu termasuk tidak melakukan lapan kesalahan utama seperti memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar lampu isyarat merah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi trafik Melaka kita akan menguatkuasakan lapan kesalahan utama seperti diumumkan oleh pengarah trafik dan harap pengguna lebih berhati-hati," katanya.

Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, aliran trafik di tiga plaza tol utama negeri ini meningkat selepas jam 12 tengah hari tadi berbanding di sebelah pagi.

"Kita akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang," katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP yang diumumkan itu memberi kelonggaran termasuk kebenaran merentas negeri dan membenarkan beberapa aktiviti pelancongan.