Syawal 2020, segalanya berbeza!

No Image Caption
A
A
A

SELAMAT Hari Raya Aidilfitri. Semua orang kata hari raya kali ini berbeza. Ya, sangat berbeza. Kurang kedengaran lagu-lagu nostalgia hari raya seperti Balik Kampung, Dendang Perantau yang bertemakan suasana hari raya di kampung atau desa.

Bukan suasana sahaja yang berbeza. Lebih ketara, hari raya kali ini tidak boleh balik kampung, tidak boleh ziarah-menziarahi dan tiada rumah terbuka selepas hari raya pertama. Lebih mengejutkan, ada kes dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) hari raya!

Pandemik Covid-19 ditakdirkan untuk kita pada tahun ini. Bukan sahaja Aidilfitri, mungkin sambutan Aidiladha pada penghujung bulan Julai ini juga akan terkesan. Bersedialah!

Apapun Aidilfitri tetap dirayakan dengan penuh kesederhanaan. Tuhan perancang segala dan itu kehendak-Nya. Sekurang-kurangnya kita dapat atasi yang berlebihan dan menolak pembaziran.

Kita berasa sedih kerana tidak dapat ziarah-menziarahi, apatah lagi menemui ayah bonda di kampung. Tetapi ada yang lebih terkesan dan berduka, terutama yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga di bazar Ramadan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Tindakan tegas kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 perlu disokong untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama. Kita tidak mahu wujud kluster hari raya seperti yang berlaku di China, Jepun dan Korea.

Jika kita berjaya membendung penyebarannya dan pada masa yang sama penawarnya berjaya ditemui, bolehlah kita beraya seperti biasa pada tahun hadapan dengan sedikit penambahbaikan iaitu penjagaan kebersihan dan bersederhana tanpa pembaziran. Itu mungkin hikmah sebenar apa yang berlaku hari ini.

Apa yang pasti, bekalan barang keperluan mencukupi dan harganya pun stabil sepanjang hari raya kali ini dan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaporkan tahap kepatuhan peniaga sangat memuaskan.

Artikel Berkaitan:

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) kali ini juga tidak perlu terlalu lama seperti tahun lalu. Kalau terlalu lama, peniaga pasti risau dan ekonomi negara lambat untuk pulih.

Permintaan

KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan harga barangan keperluan terutama di pasar awam.
KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan harga barangan keperluan terutama di pasar awam.

Pada peringkat awal, senarai barang keperluan raya sudah mencukupi. Tetapi ditambah menjadi 35 atas permintaan pengguna. Itulah bukti kerajaan prihatin dan sedia mendengar keluhan rakyat.

Hanya satu barang yang menonjol pada perayaan kali ini. Ayam! Beberapa hari menjelang hari raya, harga ayam naik hampir sekali ganda berbanding harga semasa PKP.

Sebenarnya yang merungut itu tidak faham. Harga ayam semasa PKP memang rendah kerana permintaan menurun. Restoran ditutup, hanya dibuka untuk take-away. Hotel pun dah tak ada lagi bufet.

Apabila permintaan kurang, pastinya harga ikut turun. Sama seperti situasi harga minyak mentah dan petrol waktu ini. Harga ayam turun serendah RM4.50 sekilo semasa PKP. Ada juga peniaga menjualnya pada harga RM10 untuk tiga ekor.

Permintaan melonjak sedikit semasa PKPB kerana banyak perniagaan dibuka semula. Menjelang raya, permintaan naik lagi walaupun jumlahnya tidak seperti tahun lalu.

Itu lumrah kerana harga ditentukan oleh permintaan dan bekalan. Justeru, kerajaan menetapkan harga maksimum ayam bersih standard pada RM7.50 sekilo supaya harga tidak mencanak hingga membebankan pengguna.

Tindakan pantas pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP memantau berjaya meredakan situasi dan rakyat dapat menyambut hari raya dengan tenang dan ceria.

Begitu juga dengan permintaan daging dan kelapa untuk rendang, telur untuk kuih-muih juga kembali stabil. Kuih ‘tunjuk-tunjuk’ pun mudah didapati di pasaran pada harga yang berpatutan, sama ada di pasar atau melalui 'online' untuk hidangan raya.

Normal baharu ini akan terus menjadi sebahagian hidup kita. Mahu tak mahu, kita kena terima dan perlu membiasakannya buat masa ini. Nak menikmati teh tarik di kedai mamak dengan kawan-kawan, entah bila.

Satu meja hanya untuk dua orang sahaja. Berurusan di bank, di pasar dan 'supermarket' terpaksa beratur mengikut giliran. Nak beli baju juga tidak boleh dicuba dahulu.

Inilah kesan yang ditinggalkan Covid-19. Tetapi semua langkah pencegahan tidak akan berkesan jika pengguna tidak menyokong usaha itu. Bagaimana pengguna boleh membantu?

KPDNHEP menyarankan penggunaan aplikasi PriceCatcher untuk tujuan semak, banding dan kongsi harga barangan keperluan.
KPDNHEP menyarankan penggunaan aplikasi PriceCatcher untuk tujuan semak, banding dan kongsi harga barangan keperluan.

Berubahlah

1. Pengguna harus sedia mengubah tingkah laku dan cara membeli. Ini diistilahkan sebagai 'consumer behaviour'. Sedar atau tidak, pengguna juga salah satu faktor penentuan harga barangan naik atau turun.

2. Pengguna harus jadi Pengguna Bestari. Merancanglah apa dan di mana yang hendak dibeli supaya tidak terpaksa beratur panjang dan tidak terlalu lama di dalam pasar raya. Kalau online lebih murah, berkualiti dan boleh dipercayai, bolehlah beli di online.

3. Pengguna juga harus tahu di mana mendapat bekalan pada harga yang berpatutan. Tidak semestinya barangan segar mesti dibeli di pasar basah sahaja dan terpaksa pula membeli pada harga yang mahal.

Kita mempunyai alternatif untuk membeli di pasar raya. Buatlah perbandingan harga yang boleh menguntungkan pengguna sendiri. Jika ramai pengguna tidak membeli dari tempat yang menjual dengan harga tinggi, penjualan akan berkurangan dan pasti harga akan diturunkan. Daripada situlah harga akan stabil.

4. Pengguna juga tak perlu jumud bila berbelanja. Sebagai contoh, sekiranya teringin untuk makan ketam tetapi bila sampai di pasar, harga ketam melambung tinggi, tukarlah selera hari itu. Beralihlah kepada barangan yang harganya lebih murah.

Tahanlah selera sehari dua atau ke lain masa sehingga ketam turun ke harga yang munasabah. Kecuali kalau orang rumah mengidam anak pertama. Itu dipanggil pengorbanan!

5. Pengguna harus sentiasa fleksibel untuk mengubah selera. Hanya dengan pendekatan ini, pengguna dapat berjimat dan pada masa yang sama memberi tekanan kepada peniaga untuk turunkan harga.

6. Pengguna juga mesti mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk membanding harga dari satu penjual dengan penjual lain. Susah? Taklah. Teknologi digital memudahkan semua urusan. Kata orang, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

KPDNHEP sediakan mobileapps PriceCatcher untuk dapatkan harga terbaik bagi enam kategori barangan popular untuk sesebuah lokaliti. Banyak faedahnya!

Masukkan sahaja nama barangan, PriceCatcher akan memberikan harga barangan tersebut di beberapa premis berdekatan dengan lokasi pengguna. Amat mudah. Muat turun dan cuba gunakan.

7. Pengguna mesti berani untuk membuat laporan kepada KPDNHEP jika terdapat unsur penipuan atau pencatutan. Cara ini sahaja kita dapat menjadikan peniaga lebih beretika dan hak pengguna terbela.

Kolaboratif pengguna bestari dan peniaga beretika diperkukuhkan dengan penguatkuasaan yang berterusan daripada pihak KPDNHEP.

Ia akan membantu merealisasikan visi kementerian dalam mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya maju, berdaya-saing dan mapan sebagai teras kelima KPDNHEP untuk tahun 2020 ini.