Didakwa buat hantaran jelik, kenyataan memfitnah PM dan YDPA

Ibu tunggal, Lai Yuet Ming, 64, (kanan) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
Ibu tunggal, Lai Yuet Ming, 64, (kanan) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam blog MalaysiaFlipFlop.

Bagaimanapun Lai Yuet Ming, 64, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, M M Edwin Paramjothy.

Yuet Ming didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Perdana Menteri dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui blog 'MalaysiaFlipFlop' pada 23 Mac lepas, mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar telah membuat kenyataan-kenyataan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam blognya pada 21 Mac lepas dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam, mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 1.40 petang, 6 Mei lepas dan pada 10 malam, 21 Mac lepas.

Di mahkamah sama, ahli perniagaan, Md Haniff Md Yunos mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Md Haniff, 40, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menganiayai orang lain di dalam Facebook, Ayahanda Tunggak Md Haniff pada 10.30 malam, 13 April lepas dan profil Facebook itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia pada 7 petang, 14 April lepas mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman serupa.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi yang mengendalikan kedua-dua kes itu mencadangkan kedua-dua OKS, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka tidak boleh membuat apa-apa hantaran yang jelik di media sosial atau hantaran berkaitan dengan perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Peguam, L Hamsagayathri, yang mewakili Yuet Ming memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya ialah ibu tunggal kepada lima orang anak yang mempunyai kesukaran hidup.

"Tiada risiko untuk OKS melarikan diri dan mengganggu saksi serta pengadu dalam kes ini," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya turut mengalami masalah kesihatan.

Md Haniff yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum kerana pendapatannya terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Saya menjalankan syarikat keselamatan dan sejak Covid-19 melanda negara kita, pendapatan saya turut terjejas sehingga isteri terpaksa menjual rantai emas untuk menyara keluarga," katanya.

Mahkamah membenarkan Yuet Ming dan Md Haniff, masing-masing diikat jamin RM4,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes. - Bernama