Muhyiddin ambil peduli prihatin masalah rakyat

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin -Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nama Mak Cik Kiah menjadi bualan hangat sejurus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan watak itu untuk menghuraikan satu persatu manfaat yang akan diterima rakyat yang terkesan pada fasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Kemudian, nama-nama seperti Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit Kaur menjadi watak baharu ketika Muhyiddin mengumumkan pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Hakikatnya, watak-watak itu merupakan satu bentuk analogi realistik yang begitu mudah difahami rakyat, mencerminkan pemimpin nombor satu negara itu menyelami, memahami dan sangat cakna masalah rakyat yang terjejas teruk dengan PKP, kata pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai.

“Cara beliau menggunakan watak-watak yang begitu ‘familiar’ mencerminkan Perdana Menteri benar-benar menghayati setiap kumpulan lapisan masyarakat di Malaysia yang terjejas akibat PKP, beliau mahu sekurangnya-kurangnya ada makanan terhidang di atas meja setiap keluarga,” katanya menyingkap 100 hari Muhyiddin bergelar Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada hari ini.

Berbanding negara lain, Barjoyai berkat,a banyak pihak terkejut apabila kerajaan Malaysia sanggup memperuntukkan belanja besar melakukan suntikan langsung fiskal melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM35 bilion yang disifatkannya sebagai 'belanjawan kemanusiaan'.

Barjoyai berkata, isi rumah kehilangan mata pencarian dan menghadapi waktu sukar ketika PKP dilaksanakan, mendapat manfaat secara langsung menerusi pelbagai inisiatif seperti subsidi gaji, pemberian wang tunai secara 'one-off' atau sekali sahaja, insentif barisan hadapan dan pemberian kepada pemandu e-hailing dan teksi.

Bagaimanapun, beliau melihat antara kelemahan yang perlu ditangani sejak dahulu lagi adalah negara kekurangan pangkalan data untuk mengetahui profil dan status sebenar isi rumah, misalnya pemandu teksi, nelayan, gelandangan, ibu tunggal, sekali gus membantutkan usaha penyampaian bantuan secara sistematik.

Katanya, Muhyiddin juga dilihat bakal berdepan cabaran besar apabila dalam tempoh selepas Aidilfitri ini, banyak kumpulan pekerja dijangka kehilangan pekerjaan, sekali gus menuntut satu lagi bantuan kemanusiaan terutamanya dalam bentuk makanan, dalam tempoh mungkin enam bulan lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis sosio-ekonomi Profesor Madya Dr Madeline Berma memuji respons dan ketangkasan kerajaan diterajui Muhyiddin mengumumkan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilakukan tepat dari segi nilainya malah tepat pada masanya terutamanya dalam membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

"Kesan Covid-19 tidak sama. 'You are in the same storm but not in the same boat'. Perahu M40, T20 dan B40 amat berbeza. B40 putus pendapatan, putus makanan sebab majoriti berniaga tepi jalan dan sangat terkesan kerana perniagaan terhenti, ada anak dan suami diberhentikan kerja," katanya.

Berdasarkan maklum balas Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada April lepas, sejumlah 70.1 peratus responden berpendapat bahawa Prihatin berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan

Bagaimanapun, Madeline berkata, walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan sebagainya, namun beliau menegaskan ia hanya mengurangkan beban kewangan dalam jangka masa pendek, namun tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya.

"Cabaran besar selepas ini adalah dari sudut peluang pekerjaan dan peluang ekonomi," katanya.

Pekerja swasta, Zulkarnain Osman, 40, berpendapat, ketika rakyat berdepan dengan kesusahan yang tidak diduga dan tanpa persediaan yang sewajarnya ekoran PKP, pengumuman Perdana Menteri mengenai pelbagai jenis bantuan dan kelonggaran khas seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) benar-benar memberi kelegaan dan ruang untuk bernafas buat rakyat.

“Ketika ini, apa yang penting adalah kelangsungan hidup, bukan untuk bermewah-mewah kerana rakyat juga faham wabak yang melanda bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia. Pendekatan yang Perdana Menteri bawa menunjukkan dia seorang yang cakna dengan denyut nadi rakyat,” katanya.

Penuntut tahun akhir Universiti Malaysia Kelantan, Ahmad Fakharuddin Abdul Halim, 24, melihat Muhyiddin umpama membawa watak seorang ‘abah' yang begitu mengambil berat situasi semasa anak-anaknya tanpa mengamalkan sikap pilih kasih.

"Saya sendiri menggunakan BPN berjumlah RM250 sebagai modal untuk memulakan perniagaan sate ikan secara kecil-kecilan di Kuala Berang, Terengganu dan alhamdulillah sedikit sebanyak adalah wang saku sementara mendapat pekerjaan tetap," katanya. - Bernama