Mavcom pantau masa penggiliran di KLIA Terminal 1, 2

Mavcom pantau masa penggiliran di KLIA Terminal 1 dan 2.
Mavcom pantau masa penggiliran di KLIA Terminal 1 dan 2.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan melaksanakan enam elemen kualiti perkhidmatan yang tertumpu terhadap masa penggiliran di pusat-pusat pemeriksaan penumpang utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pelaksanaan dalam Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang itu termasuk pemeriksaan keselamatan, laluan masuk, keluar dan pindahan untuk imigresen serta kastam.

Menurutnya, setakat ini, 20 daripada 28 elemen telah dikuat kuasa bagi memastikan peningkatan berterusan dalam kualiti perkhidmatan untuk pengguna lapangan terbang.

"Ia bertujuan meningkatkan keselesaan pengguna dan menaik taraf tahap perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang syarikat penerbangan serta perkhidmatan pengendalian bagasi di lapangan terbang yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Malaysia.

“Suruhanjaya menyasarkan untuk melaksanakan baki dua elemen masa penggiliran menjelang suku keempat 2024 yang merangkumi kaunter daftar masuk dan kawasan mengambil atau menghantar penumpang di bebendul jalan.

“Untuk tujuan ini, suruhanjaya akan memulakan pemantauan dan penilaian bagi piawaian ini. Perkembangan ini mewakili penyempurnaan integrasi 28 elemen kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, menurut Saripuddin, suruhanjaya turut mengambil langkah proaktif untuk memastikan ketelusan dan penambahbaikan berterusan melalui pengenalan halaman prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di laman webnya.

“Langkah ini bertujuan untuk menyediakan pihak berkepentingan terhadap metrik prestasi penting termasuk on time performance (OTP), pembatalan penerbangan dan kualiti perkhidmatan lapangan terbang dengan memupuk budaya akauntabiliti dan peningkatan berterusan.

Artikel Berkaitan:

“Halaman prestasi ini menandakan ketelusan yang dipertingkatkan dalam sektor penerbangan kita.

“Ini akan memberi kuasa kepada penumpang untuk membuat pilihan termaklum sambil memacu syarikat penerbangan dan lapangan terbang secara konsisten untuk meningkatkan piawai perkhidmatan mereka secara konsisten,” ujarnya.

Tambah Saripuddin, suruhanjaya juga berhasrat melaksanakan sepenuhnya rangka kerja QoS di semua lapangan terbang antarabangsa dan domestik di Malaysia secara berperingkat.

Katanya, suruhanjaya telah memulakan pelaksanaan rangka kerja itu di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (BKI) dan Langkawi (LGK) berkuat kuasa Julai 2023.

“Manakala Kuching (KCH), Miri (MYY) serta Senai (JHB) kini dalam fasa pembangunan dan dijangka akan dilaksanakan menjelang suku ketiga tahun ini.

“Memandangkan ciri unik setiap lapangan terbang, elemen kualiti perkhidmatan disesuaikan secara khusus untuk memenuhi keperluan berbeza bagi setiap lokasi.

“Lapangan terbang yang dirancang untuk pembangunan pada suku keempat 2024 ialah Subang (SZB), Pulau Pinang (PEN), Kota Bharu (KBR), Sibu (SBW) dan Bintulu (BTU) serta selebihnya rangka kerja QoS akan dibuat secara progresif sehingga 2027,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!