Rangka tindakan pembangunan Labuan akan diselaraskan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

LABUAN - Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 akan diselaraskan sejajar dengan senario ekonomi semasa, perubahan perkembangan politik dan suasana pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, rangka tindakan itu sekiranya dilaksanakan semasa tempoh mencabar pandemik Covid-19 ketika ini perlu diselaraskan sepenuhnya selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya akan melihat rangka tindakan itu dengan terperinci agar saya boleh memberikan input berdasarkan kepada pengalaman saya dan latar belakang akademik saya dalam perancangan bandar. Saya berharap dapat melihatnya sendiri bagi mengenal pasti bahagian mana yang perlu diselaraskan untuk menambah nilai kepadanya,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bantuan Makanan Yayasan Wilayah Persekutuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan di pelbagai kampung, di sini hari ini.

Menurutnya, mungkin ada beberapa bahagian dalam rangka tindakan itu yang masih boleh digunakan sebagai garis panduan bagi pembangunan, manakala sebahagian lain akan ditambah baik berdasarkan perubahan dalam landskap pembangunan negeri-negeri jiran Sabah dan Sarawak serta Brunei.

“Rangka tindakan pembangunan tidak boleh terlalu tegar, anda perlu mengambil pertimbangan situasi terkini..tidak ada makna mempunyai rangka tindakan tetapi kemudiannya nanti tidak boleh dilaksanakan.

“Lebih baik mempunyai rangka tindakan yang mudah dan boleh dilaksanakan dan anda boleh melihat hasilnya daripada mempunyai rangka tindakan yang canggih namun akhirnya tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Rangka tindakan itu dilancarkan pada Januari 2018 yang bertujuan membantu pihak berkuasa tempatan Labuan Corporation (LC) melaksanakan fungsi-fungsinya serta mentransformasikan ekonomi Labuan daripada bergantung sepenuhnya kepada sektor minyak dan gas kepada ekonomi lebih pelbagai yang berasaskan kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Annuar berkata, tumpuan kerajaan kini adalah kepada pendekatan berpaksikan rakyat kepada dasar ekonomi, modal dan ekonomi makro serta dasar kewangan.

“Kita perlu menangani semua ini pada masa yang sama dengan keutamaan kepada ekonomi rakyat. Kerajaan komited untuk memulihkan ekonomi negara bagi menyaksikan Malaysia muncul semula menjadi ekonomi yang dinamik dan kompetitif menjelang Jun tahun depan,” katanya. - Bernama