Ketepi protokol demi rakyat

Al-Sultan Abdullah berkenan menaiki bot bagi meninjau keadaan banjir di Kampung Temai pada tahun 2017.
Al-Sultan Abdullah berkenan menaiki bot bagi meninjau keadaan banjir di Kampung Temai pada tahun 2017.
A
A
A

KUANTAN - Keikhlasan budi pekerti dan sikap ambil berat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sangat luhur sehingga Seri Paduka sentiasa mengetepikan protokol ketika berdepan masalah rakyat.

Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin berkata, Al-Sultan Abdullah akan segera bertanya khabar dan turun padang ketika musibah melanda rakyat.

“Saya masih ingat peristiwa selepas banjir besar melanda Kuantan pada 2001. Seri Paduka turun padang meninjau kawasan Sungai Isap selepas banjir. Tuanku tiada protokol dan mencemar duli menggunakan motosikal penduduk kampung dan ronda dari satu rumah ke satu rumah yang terjejas teruk,“ katanya.

Lebih manis, Nik Naizi memberitahu, ketika itu beliau sendiri membonceng motosikal yang ditunggang Al-Sultan Abdullah.

“Tidak ada protokol ketika tu. Seri Paduka melawat rakyat yang terjejas dari rumah ke rumah, berjumpa dan bertanyakan keadaan setiap penghuni,” katanya.Nik Naizi berkata, mangsa banjir tersentuh dan terharu dengan keprihatinan Seri Paduka ketika itu hingga ada yang menitis air mata terharu.

“Itu adalah antara pengalaman saya bersama Tuanku sepanjang hampir 20 tahun menjadi petugas media di Pahang.

“Saya banyak menyaksikan keluhuran peribadi Al-Sultan Abdullah dan apa yang tertulis dalam akhbar serta media elektronik hanya secebis kisah keperibadian Seri Paduka,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah mencemar duli menyempurnakan acara pelepasan pendakian Media Pahang sempena 100 Tahun Bukit Fraser tahun lalu.
Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah mencemar duli menyempurnakan acara pelepasan pendakian Media Pahang sempena 100 Tahun Bukit Fraser tahun lalu.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah juga mesra dengan petugas media di negeri ini dan akan melawat serta memberi bantuan kepada wartawan atau jurugambar yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Pernah satu ketika, rumah keluarga wartawan Sinar Harian, Rosilawati Rosedi dilanda ribut di Mentakab. Selepas dimaklumkan Tuanku datang melawat dan bertanya khabar,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi Program Pendakian Kelab Media Pahang (KMP), Fazli Ahmad berkata, Seri Paduka seorang yang teliti dan mengingati hampir semua nama petugas media dan sentiasa memberi sokongan kepada pelbagai program media.

“Setiap kali terlibat dalam kegiatan sukan kelab, Seri Paduka akan bertitah supaya menjaga rakan-rakan yang lain dan sentiasa bertanya khabar dengan menyebut setiap nama peserta.

“Sikap teliti Tuanku amat saya segani dan Seri Pasuka akan selalu berpesan supaya kami menjaga imej, disiplin, nama baik negeri dan negara. Ini jelas menggambarkan Tuanku cukup teliti dan mengambil berat semua aspek kehidupan,” katanya.

Sikap Al-Sultan Abdullah yang mudah mendekati rakyat jelata membuatkan Seri Paduka Baginda cukup disenangi masyarakat di semua peringkat.
Sikap Al-Sultan Abdullah yang mudah mendekati rakyat jelata membuatkan Seri Paduka Baginda cukup disenangi masyarakat di semua peringkat.