X

Kindly register in order to view this article
!

Protes Floyd merebak ke seluruh dunia

Seorang anggota polis terbaring di jalan raya selepas terjatuh dari seekor kuda di Whitehall, tengah London pada Sabtu lalu. - Gambar AFP
A
A

BERPULUH-PULUH ribu penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut keadilan kaum di beberapa bandar raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan di beberapa negara lain tetapi ia bertukar menjadi ganas di London, Britain pada Sabtu lalu.

Protes itu diadakan berikutan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd ketika berada dalam tahanan polis AS.

Tunjuk perasaan itu yang memasuki minggu kedua itu diadakan dari New York ke Los Angeles. Ribuan penunjuk perasaan berkulit hitam, putih dan perang memenuhi jalan-jalan raya di sekitar bangunan Rumah Putih yang dihalang dengan penghadang logam berwarna hitam.

Bagaimanapun, seramai 14 pegawai polis cedera dan 14 lagi ditangkap selepas tunjuk perasaan aman bertukar menjadi ganas dalam protes Black Lives Matter di tengah London.

Koresponden Sky News, Mark White yang berada di tempat kejadian berkata, pada mulanya seramai 400 hingga 500 orang telah berkumpul dan setelah ribut petir, para penunjuk perasaan membaling botol dan lain-lain objek ke arah polis.

Sejumlah anggota polis meronda di jalan-jalan raya dengan menunggang kuda untuk menghalang kemaraan para penunjuk perasaan.

Sebuah basikal pula dibaling ke arah anggota polis berkuda.

Seorang anggota polis turut terjatuh daripada haiwan tersebut selepas kudanya merempuh sebatang lampu isyarat, Haiwan itu kemudian berlari melalui para penunjuk perasaan.

Polis Metropolitan berkata, pegawai tersebut dibawa ke hospital yang mana kecederaannya tidak membawa maut.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan memuji tunjuk perasaan aman, tetapi mengkritik mereka yang bertindak ganas.

"Kepada golongan minoriti kecil yang bertindak ganas dan membaling botol dan menyalakan suar, anda membahayakan protes aman serta selamat selain mengetepikan punca penting ini (kejadian tunjuk perasaan tersebut)," katanya.

Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom, Priti Patel berkata, keganasan terhadap polis tidak boleh diterima dan menyatakan sokongan penuh terhadap para pegawainya.

Tunjuk perasaan itu kebanyakannya adalah aman dan ribuan orang yang menyertainya berarak ke jalan raya di bandar raya seperti London, Manchester, Cardiff, Luton, Leicester dan Bath.

Penyanyi pop terkenal kelahiran AS, Maddona turut menyertai tunjuk perasaan itu walaupun dia dilihat memakai sebatang topang. Turut hadir sama ialah bekas bintang tenis dunia, Boris Becker dan petinju Britain, Anthony Joshua.

Floyd, 46, terbunuh pada 25 Mei lalu di bandar Minneapolis, AS. Dia mati selepas seorang pegawai polis berkulit putih menekan lehernya dengan lutut lebih lapan minit selepas lelaki kulit hitam tersebut dituduh menggunakan wang palsu bernilai AS$20 (RM85) untuk membeli rokok.

Sementara itu, di Washington, AS, seorang penduduk tempatan Christine Montgomery berkata: "Perjuangan ini telah berlaku selama banyak dekad, ratusan tahun dan ketika ini inilah waktu untuk melakukan perubahan,"

Tunjuk perasaan pada hari Sabtu itu dianggap yang paling besar di seluruh AS yang berpunca daripada kematian Floyd di negeri Minnesota oleh seorang pegawai polis berkulit putih Minnepolis.

Ribuan orang menyertai tunjuk perasaaan berhubung keganasan polis di Marseille, selatan Perancis.. - Gambar AFP
Ribuan orang menyertai tunjuk perasaaan berhubung keganasan polis di Marseille, selatan Perancis.. - Gambar AFP

Pada masa yang sama sejumlah orang melaungkan perkataan 'Tidak ada keadilan, tiada keamanan' di luar sebuah gereja di Carolina Utara pada penghormatan terakhir Floyd ketika majlis memperingati kematiannya masih lagi diteruskan.

Kematian lelaki berkulit hitam itu berlaku di tengah-tengah pandemik Covid-19 melanda dunia.

Sejumlah pegawai di seluruh dunia juga cuba untuk mengimbangi pemahaman tentang kemarahan orang ramai yang terpendam dengan penyakit Covid-19 yang sudah meragut nyawa hampir 400,000 di peringkat global.

Berpuluh-puluh ribu penduduk Australia tidak mengendahkan kenyataan Perdana Menteri negara itu, Scott Morrison untuk mencari penyelesaian yang lebih baik berhubung isu tersebut.

Di Sydney, penduduk asli aborigine mengadakan majlis tradisi menghisap rokok pada permulaan protes Black Lives Matter yang dibenarkan berlangsung pada saat akhir selepas dilarang berikutan isu-isu kesihatan.

Puluhan ribu lagi berarak di Perancis dan di Tunis, Tunisia. Ratusan penunjuk perasaam melaungkan ayat: "Kami mahukan keadilan, kami mahu untuk bernafas."

Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 23,000 orang menunjuk perasaan di bandar-bandar Perancis dengan 5,500 orang di Paris.

Tunjuk perasaan yang lebih kecil juga berlaku di laur Kedutaan AS di Warsaw dan Sofia.

Di Jerman, para pemain bola sepak liga Bundesliga melakukan senaman ringan dengan memakai baju yang tertulis 'Red card to racism #BlackLivesMattea' sebelum perlawanan bermula.

'Berapa ramai lagi?' kata ayat yang tertera pada sebuah poster di tengah ribuan orang di Frankfurt, Jerman.

Ribuan orang lagi berarak di dataran bandar-bandar di Belgium dan Belanda,

Protes juga berlaku di negara-negara dilanda peperangan seperti Iraq yang berlakunya Revolusi Amerika manakala ayat 'Kami mahu bernafas juga' merebak di laman sosial.

"Saya berpendapat, rakyat AS yang melakukan ini (tunjuk perasaan menentang perkauman) memang berani dan mereka perlu berasa marah tetapi rusuhan bukannya satu penyelesaian," kata seorang penduduk, Yassin Alaa, 20, yang sanggup berkumpul di Tahrir Square, Baghdad, Iraq, Tempat itu merupakan lokasi tunjuk perasaan bagi menentang kerajaan. - Agensi

Sejumlah orang memegang plakad ketika menyertai tunjuk perasaan Black Lives Matter di Dataran Parlimen, tengah London pada Sabtu lalu. - Gambar AFP
Sejumlah orang memegang plakad ketika menyertai tunjuk perasaan Black Lives Matter di Dataran Parlimen, tengah London pada Sabtu lalu. - Gambar AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!