Peniaga disaran guna MySejahtera

Datuk Seri Hasnol Zam Zam mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki pasar raya medan selera RASA di pusat membeli belah Alamanda semasa program pemantauan penggunaan aplikasi MySejahtera hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Hasnol Zam Zam mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki pasar raya medan selera RASA di pusat membeli belah Alamanda semasa program pemantauan penggunaan aplikasi MySejahtera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peniaga digalak menggunakan aplikasi MySejahtera untuk merekodkan maklumat pengunjung di premis perniagaan masing-masing berbanding menggunakan aplikasi sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, penggunaan aplikasi MySejahtera membantu kerajaan mengawal penularan koronavirus (Covid-19) menerusi platform teknologi dan satu pangkalan data.

“Jika berlaku insiden pelanggan yang didapati positif Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengenal pasti pelanggan yang ada di premis sama pada waktu dan tarikh sama menerusi pangkalan data itu,” katanya kepada pemberita di pusat beli-belah Alamanda di sini semalam.

Hasnol Zam Zam ditemui selepas meninjau pemantauan penggunaan aplikasi MySejahtera dalam kalangan peniaga dan pengunjung di pusat beli-belah itu.

Menurutnya, hampir 75 peratus peniaga di Alamanda telah menggunakan aplikasi MySejahtera selain penggunaannya dalam kalangan pengunjung semakin meningkat.

Peniaga yang belum menggunakan aplikasi MySejahtera dinasihatkan menggunakan aplikasi berkenaan bagi memudahkan pihak berkuasa selain memudahkan pengunjung daripada perlu menulis nama dan nombor telefon masing-masing.

“KPDNHEP akan jalankan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan peniaga menggunakan aplikasi MySejahtera, walaupun ia masih belum diwajibkan,” katanya.

Aplikasi MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan kerajaan untuk mengawal wabak Covid-19 di Malaysia selain memudahkan KKM mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim yang turut hadir pada majlis itu berkata, hanya satu tapak pembinaan beroperasi di Putrajaya pada masa ini dan pihaknya sudah memantau proses saringan Covid-19 yang dilakukan ke atas pekerja yang terlibat baru-baru ini. - Bernama