PRN: Mohamad, Anthony Loke pertahan kerusi DUN masing-masing

Mohamad Hasan, Anthony Loke
Mohamad Hasan, Anthony Loke
A
A
A

REMBAU - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Mohamad merupakan penyandang kerusi DUN Rantau manakala Anthony Loke pula penyandang bagi DUN Chennah.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika ditemui berkata, beliau bersedia memberi laluan kepada muka baharu, namun setakat ini tiada calon lain mahu bertanding di kerusi yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

"Sayalah bertanding, kerana ramai nak saya bertanding di DUN Rantau, ramai mahu saya mewakili mereka.

"Saya akan buat keputusan sewajarnya sebelum 29 Julai ini, setakat hari ini tiada siapa yang mahu, saya nak tonjolkan muka baharu, tapi mereka sendiri menolak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di Dewan Agora Rembau pada Sabtu.

Sementara itu, ketka ditemui di Pekan Titi, Jelebu, Anthony Loke turut menyuarakan hasrat yang sama iaitu untuk mempertahankan DUN Chennah pada pilihan raya kali ini, berdasarkan keputusan kaji selidik dalam kalangan pengundi yang dilakukan di kawasan berkenaan.

"Selepas melihat kepada senario politik semasa dan mengambil kira sentimen tempatan, saya telah memutuskan untuk terus mempertahankan kerusi Chennah.

"Saya telah membuat kajian dan tinjauan dalam kalangan pengundi tempatan Chennah. Keputusannya telah memberikan saya semangat untuk terus memberikan khidmat kepada orang ramai,” katanya.

Anthony Loke berkata, menerusi kaji selidik itu, sokongan tinggi terhadapnya merupakan dari komuniti Cina dengan 90 peratus, manakala lebih 50 peratus sokongan komuniti Melayu di Chennah.

Ahli Parlimen Seremban itu telah dua kali menang di DUN Chennah iaitu pada PRU13 dan PRU14. - Bernama