X

Kindly register in order to view this article
!

PSG silap besar lepaskan Cavani

Cavani
A
A

KEPUTUSAN gergasi Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG) membenarkan bintang Uruguay, Edinson Cavani berhijrah ke kelab lain disifatkan sebagai kesilapan besar.

Bekas bintang Perancis, Nicolas Anelka berkata, keputusan itu berkemungkinan menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan menyarung jersi gergasi Serie A, Inter Milan atau gergasi La Liga, Atletico Madrid.

Menurut Anelka, penghijrahan itu bakal menyaksikan Cavani kembali berdepan PSG suatu hari nanti bersama pasukan baharunya.

“Membenarkan Cavani berhijrah mungkin menjadi kesilapan besar PSG. Cavani kekal menggunakan jersi nombor sembilan. Biarpun aksinya agak kelam kabut, namun dia tetap menjaringkan gol dan berkhidmat kepada anda dalam apa juga keadaan.

“Lagi pun di Paris, anda memerlukan persaingan. Cavani ialah penyerang hebat dan anda mengambil risiko besar membenarkannya berhijrah ke kelab lawan kerana dia pula pasti akan berhijrah ke kelab yang lebih besar.

“Bila tiba masanya, dia akan beraksi menentang PSG dan pastinya akan menjaringkan gol. Di sinilah akan timbul penyesalan amat sangat,” katanya.

Untuk rekod, sejak menyertai PSG dari Napoli pada 2013, Cavani mula mengalami kemerosotan prestasi terutamanya di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Ini ditambah hasrat PSG membawa masuk penyerang Inter Milan, Mauro Icardi yang secara tidak langsung membayangkan Cavani tidak lagi akan terus berada di Paris.

Sementara itu Anelka berharap PSG mendapat lebih banyak pendedahan menerusi perlawanan sukar dalam usaha muncul sebagai pencabar utama dalam saingan di Eropah.

“Masalah utama di sini adalah kebanyakan perlawanan di Ligue 1 tidak mencabar. Mungkin untuk menjadi juara Ligue 1 adalah baik, tetapi daripada segi progres, ia memerlukan perlawanan sukar dengan lebih kerap.

“Apa pun PSG hari ini adalah kelab yang hebat. Dengan pemain yang dimiliki, ia sudah cukup untuk memenangi Liga Juara-Juara dan mereka akan melakukannya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!