Cabaran Liew Xun-Nicole terhenti suku akhir

Saingan Liew Xun-Nicole dalam Kejuaraan Super 100 2026 dihentikan Rehan Naufal-Melati Daeva di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity. Foto: BAM
Saingan Liew Xun-Nicole dalam Kejuaraan Super 100 2026 dihentikan Rehan Naufal-Melati Daeva di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity. Foto: BAM
A
A
A

HASRAT beregu badminton campuran negara, Liew Xun dan Nicole Tan, untuk melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Allianz Malaysia Super 100 2026 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Melati Daeva Oktavianti, di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, pada Jumaat.

Pasangan negara itu gagal menyaingi kelebihan pengalaman lawan apabila tewas straight set 13-21, 6-21 dalam aksi suku akhir berkenaan.

Liew mengakui pengalaman lawan menyukarkan mereka mengawal rentak permainan, sekali gus menjejaskan usaha untuk membina corak permainan sendiri.

“Mereka lebih berpengalaman dan kami sukar mendapatkan rentak sendiri kerana lawan berjaya mengawal tempo permainan. Kami perlu lebih sabar dan mengawal emosi dengan lebih baik di gelanggang,” katanya.

Selain itu, Liew mengenal pasti kelemahan dalam aspek putaran permainan dan kualiti pukulan yang perlu diperbaiki bagi membolehkan mereka bersaing dengan pasangan lebih berpengalaman.

“Kelemahan kami terletak pada putaran permainan dan kualiti pukulan. Kedua-dua aspek ini perlu dipertingkatkan dengan ketara jika mahu bersaing pada tahap ini,” katanya.

Sementara itu, Nicole berkata keadaan gelanggang, termasuk perbezaan tiupan angin di kedua-dua belah gelanggang, turut mempengaruhi permainan.

Beliau turut mengakui komunikasi antara mereka masih perlu diperkemas memandangkan kejohanan itu menjadi penampilan pertama sebagai gandingan.

“Keadaan angin di kedua-dua belah gelanggang turut memainkan peranan, selain lawan mampu mengekalkan rentak permainan.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan ini kali pertama kami bergandingan, komunikasi antara kami masih boleh diperbaiki,” katanya.

Walaupun tersingkir, Nicole menganggap perlawanan itu sebagai pengalaman berharga untuk mengenal pasti kelemahan dan mempelajari corak permainan pemain bertaraf tinggi.

“Beraksi menentang pemain terbaik seperti mereka memberi peluang kepada kami mempelajari corak permainan lawan. 

"Kejohanan ini juga membantu saya mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

“Kami akan membawa pulang pengalaman ini, terus belajar dan bekerja lebih keras dalam latihan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beregu lelaki negara, Kang Khai Xing-Lok Hong Quan, mara ke separuh akhir selepas lawan dari Taiwan, Chen Bo-Yuan-Lu Ming Che, menarik diri ketika ketinggalan 0-3 pada set pertama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!