Garis panduan rondaan SRS semasa PKPB diluluskan

Sebanyak 1,079 SRS dengan peronda seramai 68,410 akan dibenar melakukan rondaan bermula 20 Jun ini. - Foto sumber Kementerian Perpaduan Negara
Sebanyak 1,079 SRS dengan peronda seramai 68,410 akan dibenar melakukan rondaan bermula 20 Jun ini. - Foto sumber Kementerian Perpaduan Negara
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Tugas Rondaan Di Zon Hijau oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), kelulusan itu menyaksikan sebanyak 1,079 SRS dengan peronda seramai 68,410 akan dibenar melakukan rondaan bermula 20 Jun ini.

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diadakan pagi tadi telah meluluskan garis panduan yang dibentangkan KPN.

"Keputusan ini merupakan susulan keputusan Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada 23 Mei lepas supaya Rukun Tetangga dibenar mengadakan rondaan SRS berskala kecil semasa tempoh PKPB dengan mematuhi protokol kesihatan Kementerian Kesihatan," katanya.

SRS adalah pasukan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 16(3) Akta Rukun Tetangga 2012 yang bertanggungjawab menjalankan rondaan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menjaga keselamatan komuniti.

KRT memainkan peranan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat bagi memastikan zon hijau terus kekal hijau dan selamat daripada penularan wabak Covid-19.

Sehingga kini, terdapat 8,274 KRT di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 5,302 SRS telah ditubuhkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: