Aksi menari: Ketua Hakim, Peguam Negara perlu beri penjelasan

 Aksi menari yang tular di media sosial.
Aksi menari yang tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Hakim Besar Sabah serta Sarawak perlu memberi penjelasan mengapa mereka menari bersama dalam satu majlis di Sabah baru-baru ini.

Desakan itu disuarakan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk’ Zainul Rijal Abu Bakar yang merasakan penjelasan perlu dibuat memandangkan mereka menari sepentas bersama menteri dan peguam persendirian.

Menurutnya, meskipun mereka dijemput naik ke pentas, seharusnya permintaan itu ditolak bagi memelihara kesucian institusi diketuai mereka selain mengelak timbulnya fitnah.

“Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.

“Oleh itu, jika kelihatan hakim-hakim sangat mesra menari bersama peguam di pentas yang sama, ia akan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, beliau sedar terdapat beberapa pihak mempertahankan insiden tersebut dengan mengatakan ia adalah norma lazim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak menimbulkan wasangka serta tiada perlanggaran etika.

Begitupun, Zainul Rijal merasakan jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut itu adalah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Yang di-Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat hakim yang melanggar etika.

Artikel Berkaitan:

“Suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar akibat pelanggaran etika kehakiman atau tidak berdasarkan insiden yang ditularkan ini mengikut Perkara 125 tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal menjelaskan majlis Opening of Legal Year (OLY) yang dianjurkan di Sabah itu bukanlah baru berlaku ketika zaman kerajaan baharu kerana ia telah lama diadakan di Sabah dan Sarawak sejak tahun 2001.

Malah, beliau menganggap tiada salahnya penganjur OLY 2019 memasukkan persembahan dari setiap bahagian bagi memeriahkan makan malam tersebut kerana ia bukanlah asing di Sabah dan Sarawak

“Bagi saya isunya bukanlah majlis makan malam dan persembahan yang diadakan itu tetapi persoalan mengapa individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari.

“Malah mereka kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan yang lain serta peguam persendirian yang seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan,” tegas beliau.

Katanya lagi, disebabkan insiden tersebut, timbul persoalan adakah kejadian itu memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.