X

Kindly register in order to view this article
!

Teori konspirasi kematian George Floyd

Gambar mural mendiang George Floyd di Okland, Amerika Syarikat pada 3 Jun lalu. - Foto AFP
A
A

PEMBUNUHAN lelaki kulit hitam, George Floyd, 46, dikatakan sengaja dilakukan sebelum diuar-uarkan di media sosial sebelum pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) didakwa bertindak memutuskan rantaian komunikasi di ibu kota negara AS berhubung kekacauan yang berlaku akibat kematiannya.

Sejumlah orang pula boleh dibayar untuk menjadi pencetus huru-hara yang profesional di AS.

Maklumat yang salah dan teori konspirasi berhubung kematian Floyd dalam tahanan polis Minneapolis juga telah tersebar menerusi 'online' dan menyelubungi para penunjuk perasaan.

Ia sekali gus menyemai perasaan tidak percaya dan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat AS.

Keadaan itu berlaku ketika rakyat AS berhadapan dengan perasaan marah secara meluas berhubung sejarah panjang mengenai keganasan polis terhadap penduduk Afrika Amerika di negara Uncle Sam.

Dakwaan seperti itu kebanyakannya bertujuan menyasarkan para penunjuk perasaan dan disajikan untuk melebar luaskan jurang antara para penunjuk perasaan, penyokong dan golongan penentang.

Ia juga menyasarkan antara para penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa undang-undang sekali gus meningkatkan risiko akan berlakunya konflik serta menjadikan laluan ke arah kebaikan menjadi lebih sukar.

Gambar fail menunjukkan para penujuk perasaan mengadakan demonstrasi berikutan kematian George Floyd di luar Rumah Putih, Washington pada Isnin lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penujuk perasaan mengadakan demonstrasi berikutan kematian George Floyd di luar Rumah Putih, Washington pada Isnin lalu. - Foto AFP

"Ini ribut yang sempurna terutamanya untuk tujuan manipulasi di media sosial," kata Felo Residen di Majlis Makmal Penyelidikan Forensik Digital Atlanta, Emerson Brooking kepada AFP.

Makmal itu menumpukan kepada tugas mengenal pasti dan pendedahan berhubung maklumat palsu.

"Sebarang krisis politik sangat terdedah kepada maklumat palsu. Ancaman itu sangat tinggi apabila ketika krisis sedang marak, ia melibatkan keganasan atau ia menyentuh isu kontroversi dalam isu sosial.

"Kematian George Floyd dan protes selepas kematiannya. Ketiga-tiganya digabungkan," kata Brooking.

Floyd terbunuh pada 25 Mei lalu di bandar Minneapolis, AS selepas seorang pegawai polis berkulit putih menekan lehernya dengan lutut lebih 8 minit berikutan lelaki tersebut dituduh menggunakan wang palsu bernilai AS$20 (RM85) untuk membeli rokok.

Para penunjuk perasaan kemudian bertindak menunjuk perasaan di jalan-jalan raya di semua 50 buah negeri bagi mengadakan bantahan aman berhubung kematian Floyd.

Bagaimanapun, kecurian, kebakaran dan vandalisme turut berlaku di sejumlah bandar AS. Insiden itu menyebabkan Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menghapuskan ketidaktenteraman itu.

Trump turut menyumbang kepada masalah polarisasi kaum berhubung tunjuk perasaan itu. Dalam satu kenyataan di Twitter beliau memberitahu bahawa, "Apabila penjarahan bermula, tembakan pula bermula."

Kenyataan itu diberi amaran oleh Twiiter sebagai `mengagungkan keganasan.'

Brooking berkata, "Majoriti daripada dakwaan palsu yang saya pantau adalah bertujuan untuk memberi maklumat salah kepada para penunjuk perasaan, mencipta (berita palsu), tidak mengikut konteks atau terlalu menekan insiden keganasan dalam kalangan penunjuk perasaan aman, ia menjadi kemungkinan bagi kerajaan untuk memberi alasan supaya menindas mereka (para penunjuk perasaan)."

Seorang lelaki melutut di depan beberapa anggota polis di White House ekoran kematian George Floyd. - Foto AFP
Seorang lelaki melutut di depan beberapa anggota polis di White House ekoran kematian George Floyd. - Foto AFP

Salah satu contoh berhubung usaha untuk menanam benih-benih perpecahan dalam kalangan para penujuk perasaan dengan maklumat palsu, seorang atau lebih penduduk berkulit putih berfahaman nasionalis berhaluan kanan menggambarkan dirinya sebagai anggota pergerakan politik berhaluan kiri iaitu Antifa.

Dia membuat kenyataan di Twitter dengan menggalakkan 'komrad' iaitu para penunjuk perasaan untuk bergerak ke kawasan kediaman penduduk.

"Penutup kepala putih dan ambil semula apa yang menjadi milik kami," menurut kenyataannya di Twitter.

Kenyataan itu telah ditangkap layar dan disebarkan di Facebook. Bagaimanapun, ada sebahagian pengguna Facebook juga mendakwa bahawa kematian Floyd direka.

Mereka menganggap dia masih lagi hidup walaupun laporan perubatan sudah dikeluarkan kepada orang awam.

"Saya percaya Floyd masih hidup. Ini hanya cuma satu pertunjukan untuk memulakan perang perkauman," menurut kenyataan seorang pengguna di Facebook.

Imej-imej yang menunjukkan risalah palsu juga sudah tersebar di Facebook. Risalah itu mengiklankan peluang untuk dibayar menjadi seorang pencetus huru-hara yang profesional.

Risalah itu juga dikaitkan dengan salah satu usaha sebuah cawangan parti Demokrat tempatan dan yayasan Open Society yang dibiayai bilionaire George Soros iaitu sasaran pilihan golongan konspirasi konservatif.

Sementara itu, satu dakwaan palsu yang mendakwa komunikasi disekat di Washington pada awal 1 Jun lalu tersebar di Twitter dengan menggunakan tanda pagar #DCBlackout.

Seorang felo, Alex Engler di Institusi Brookings yang mengkaji tentang implikasi kecerdasan buatan dan teknologi data memberitahu AFP bahawa dakwaan komunikasi tersebut disebarkan oleh ratusan pemilik akaun Twitter yang diragui.

Dia berkata, penyebaran maklumat palsu tersebut kelihatan seperti operasi maklumat yang diselaraskan.

Beberapa anggota polis menolak para penunjuk perasaan berhampiran Gereja St Johan di luar White House, Washington pada Isnin lalu.
Beberapa anggota polis menolak para penunjuk perasaan berhampiran Gereja St Johan di luar White House, Washington pada Isnin lalu.

"Kenyataan itu menyebabkan berlakunya ratusan ribu kenyataan Twitter dan berjuta-juta orang terdedah kepada konspirasi ini. Penyebaran maklumat palsu seumpama itu boleh membawa kerosakan kepada para penunjuk perasaan.

"Para penunjuk perasaan mempunyai hak untuk berasa dukacita dan mesej mereka adalah yang paling efektif apabila mereka berkomunikasi secara jujur.

"Apabila mesej menjadi celaru dengan dakwaan yang kemudian menjadi tidak benar, kes seperti para pemantau kumpulan #DCBlackout yang berada di atas pagar mungkin akan tidak menyukainya," katanya.

Brooking membuat satu cadangan, dia berkata, maklumat palsu tidak mempunyai kaitan politik dan menjejaskan setiap orang.

Bagaimanapun katanya, dalam kes tersebut, maklumat palsu itu melukai golongan penunjuk perasaan. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!