X

Kindly register in order to view this article
!

PN peralat SPRM, dakwa Tun M

Mahathir berikrar untuk mendedahkan tindakan kerajaan PN yang dipercayainya salah.
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perikatan Nasional (PN) memperalatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi tekanan kepada pihaknya.

Menurutnya, perkara itu boleh dilihat terhadap tindakan SPRM yang kini sedang menyiasat beberapa ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

"Ada dalam kalangan mereka (ahli Armada) disoal siasat di dalam bilik gelap dengan empat lelaki sehingga pagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu adalah tekanan kepada pihaknya dan juga pembangkang, malah menggunakan SPRM kerana tiada cara lain yang boleh dilakukan selain dilihat sebagai strategi kerajaan kepada pihak menentang PN.

"Cara itu salah. Saya buat sidang media ini kerana bimbang kita kembali kepada hari-hari pentadbiran (seperti yang dilakukan) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh kerana tidak dapat menggunakan polis disebabkan ia badan bebas, maka PN tiada cara lain selain mempergunakan SPRM," katanya.

Dalam pada itu, Mahathir yang mendakwa beliau masih sebagai Pengerusi Bersatu berikrar untuk mendedahkan tindakan kerajaan PN yang dipercayainya salah.

"Kita harap dan akan terus dedahkan perkara yang salah," katanya.

Sebelum ini, SPRM menahan seorang pemimpin Armada bagi menyiasat kehilangan wang sayap parti itu. Terbaharu, seorang lagi ahli Armada ditahan semalam bagi tujuan sama.

Kedua-duanya masih berada di bawah tahanan reman sehingga Isnin ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Armada ditahan kes kehilangan wang Syed Saddiq

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali menolak tuduhan bahawa penahanan tersebut bermotifkan politik.

Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman membuat laporan polis berikutan kehilangan RM250,000 di dalam peti besi di rumahnya, Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit hilang RM250,000 bukan milik Bersatu: Syed Saddi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus