AMK gesa siasat pemilik Facebook ugut bunuh Anwar

Mohd Syauqi (dua dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) AMK Kedah menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar, petang semalam.
Mohd Syauqi (dua dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) AMK Kedah menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar, petang semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mendesak pihak berkuasa menyiasat kenyataan individu yang membuat ancaman bunuh terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Mohd Syauqi Md Sahimi berkata, pemilik akaun Facebook berkenaan telah membuat komen berunsur ugutan bunuh ketika Anwar mengadakan sesi siaran langsung Facebook, semalam.

Mohd Syauqi berkata, siasatan perlu dilakukan kerana ugutan yang dilontarkan bukan isu remeh kerana melibatkan ugutan bunuh.

"Kami ahli PKR bimbang akan keselamatan diri Presiden parti, malah nyawa beliau terancam jika perkara ini dibiarkan sahaja," katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis turut dibuat pihaknya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar, petang semalam.

Beliau berkata, AMK negeri turut menolak budaya politik samseng dan kotor berterusan berlegar dalam negara ini.

"Jika tiada sebarang tindakan diambil, perkara seumpama pasti berulang. Walau apa pun perbezaan pendapat dan pendirian politik, ugutan seperti ini tidak seharusnya berlaku," katanya.

Mohd Syauqi berkata, semua parti perlu mengamalkan politik sihat dan matang agar negara sentiasa berada dalam keadaan aman.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap pihak berkuasa segera bertindak terhadap pemilik akaun berkenaan agar menjadi pengajaran kepada semua," katanya.