X

Kindly register in order to view this article
!

Chelsea mahu 'rampas' Werner

Timo Werner
A
A

CHELSEA dilaporkan sedia membayar klausa pelepasan berjumlah £53 juta pound (RM285.61 juta) untuk mendapatkan penyerang sensasi RB Leipzig, Timo Werner.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, The Blues telah menghubungi Leipzig untuk membincangkan perpindahan tersebut dan hanya menunggu keputusan daripada kelab Jerman itu.

"Nilai klausa tersebut adalah sekitar £55-60 juta (RM295-RM322 juta) bergantung sama ada Leipzig akan layak untuk bermain di Liga Juara-Juara musim depan.

"Namun, Chelsea bersedia membayar tanpa menghiraukan berapa pun jumlahnya dan Liverpool tampak akan mengakui kekalahan mengejar pemain antarabangsa Jerman itu.

"Chelsea juga sudah sedia untuk menawarkan kontrak £9 juta (RM48 juta) setahun kepada Werner," kata laporan itu.

Dalam masa sama, pengendali Chelsea, Frank Lampard juga mengakui sedang mencari penyerang baharu selepas Michy Batshuayi dilaporkan mahu meninggalkan Stamford Bridge.

Pemain berusia 24 tahun itu mencipta impak bersama Leipzig dalam saingan Bundesliga musim ini apabila menjaringkan 25 gol dalam 29 penampilan untuk membantu kelab berada di kedudukan ketiga liga.

Prestasi cemerlang Werner menarik minat beberapa pasukan gergasi dunia antaranya Bayern Munich, Real Madrid dan Liverpool.

Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi destinasi utama yang mahu dituju Werner sekali gus menepis lamaran yang sebelum ini telah dikemukan Bayern.

Malah, Liverpool dicanang sebagai pasukan pilihan untuk Werner meneruskan kariernya musim depan selepas menyatakan hasrat secara terbuka untuk bermain di bawah pengendali, Jurgen Klopp.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!