X

Kindly register in order to view this article
!

Jana pendapatan dengan bertani ketika pasca Covid-19

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) dan Badlishah (kanan) kagum melihat tanaman jagung diusahakan Mat Farhan (tengah) di Kok Mak Stable miliknya.
A
A

PADANG BESAR - Rakyat Perlis disaran memanfaatkan sektor pertanian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan khususnya ketika pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua lapisan masyarakat menceburkan diri dalam aktiviti pertanian walaupun dalam skala kecil mengikut kemampuan masing-masing.

“Manfaatkan tanah atau ruang yang dimiliki untuk jalankan aktiviti pertanian. Jangan dibiarkan tanah yang ada tanpa menjana sebarang hasil,” tegas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika mencemar duli berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ ke-20, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena ‘The World Bicycle Day’.

Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau kawasan pertanian ‘Kok Mak Stable’ yang diusahakan Farhan Ventures di Kampung Kok Mak, dekat sini.

Projek pertanian berkenaan diusahakan seorang usahawan tani muda, Mat Farhan Mohamad, 32, yang memilih pertanian sebagai sumber pendapatan.

Mat Farhan menjelaskan, beliau bercita-cit menjadikan pertanian sebagai ikhtiar hidup apatah lagi ia dapat membantu mengukuhkan sumber makanan negara.

"Kebergantungan kepada produk pertanian import perlu diimbangi dengan pengeluaran hasil pertanian tempatan," katanya.

Menurutnya, antara aktiviti pertanian yang diusahakan adalah tanaman jagung, tembikai, penternakan ikan tilapia, ayam kampung, kambing serta madu lebah.

“Konsep 'sifar bazir' diterapkan dalam aktiviti dijalankan dengan memanfaatkan hasil sisa untuk dijadikan baja kompos organik, selain menggunakan sisa hampas tanaman untuk makanan ternakan seperti kambing,” katanya.

Mat Farhan berkata, selain aktiviti tanaman dan penternakan, Kok Mak Stable mengalu-alukan pengunjung yang menggemari sukan berkuda untuk riadah.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad yang turut serta dalam program kayuhan itu turut memuji usaha Farhan memanfaatkan tanah dan aset dimiliki.

“Usaha anak muda ini mendukung aspirasi ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ wajar dicontohi, sentiasa menjaga kebersihan persekitaran terutama penjagaan tandas serta kemudahan awam.

"Masyarakat juga perlu prihatin atau lebih cakna dengan saling menegur mereka yang mengabaikan kebersihan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Menurutnya, kebersihan bermula dari rumah dan tempat kerja masing-masing dan diteruskan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kita juga harus mencontohi tatacara dan amalan kebersihan di negara maju. Besarlah harapan kita agar Perlis melalui inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjadi peneraju kebersihan dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!