Misi cari pakar timang bola maya

Hiroshi Hamada
Hiroshi Hamada
A
A
A
YAKULT Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan cabaran menimang bola, ‘Yakult Global Cup 2020 The Ultimate Juggling Challenge’ dalam talian selaras normal baharu aktiviti sukan di negara ini ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan, Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, menyedari keadaan semasa yang tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan berkumpulan dilaksanakan, ia tidak menghalang Yakult Malaysia untuk menganjurkan edisi kedua Piala Global Yakult dengan cara berbeza.

Jika pada edisi pertama kejohanan berkenaan tahun lepas melibatkan acara bola sepak, namun akibat kekangan penularan Covid-19, penganjur memilih acara menimang bola untuk dipertandingkan.

Menurut Hamada, kesemua cabaran kali ini akan diadakan secara dalam talian dengan peserta hanya perlu menghantar video penyertaan kepada pihak penganjur mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

“Kejohanan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menimang bola dalam kalangan kanak-kanak serta memberikan mereka peluang untuk mencabar peserta dari Jepun, yang terdiri daripada pelatih di Akademi Bola Sepak Cerezo Osaka dan Akademi Bola Sepak Fagiano Okayama," katanya dalam kenyataan.

Kejohanan mempertandingkan dua cabaran iaitu secara individu dan berkumpulan dengan setiap cabaran dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu bawah lapan tahun (B-8), B-10 dan B-12.

Cabaran individu akan bermula dari 1 hingga 20 Jun, manakala bagi cabaran berkumpulan bermula dengan peringkat saringan pada 1 hingga 20 Jun dan peringkat akhir pada 26 hingga 30 Jun. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan e-sijil serta berpeluang menentang pasukan dari Jepun.

Maklumat lanjut serta pendaftaran untuk Yakult Global Cup 2020 The Ultimate Juggling Challenge boleh didapati di laman web rasmi Yakult Malaysia, www.yakult.com.my.

Edisi pertama Piala Global Yakult 2019 membawa pasukan negara, Malaysia Warriors menjuarai kategori B-12 dengan mengalahkan 22 pasukan dari Jepun.
Artikel Berkaitan:


Yakult adalah minuman probiotik rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN).