Jaij terus laksana tindakan penguatkuasaan

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas individu yang disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah di seluruh negeri ini terutamanya di kawasan bandar raya ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan bertujuan untuk membendung dan mencegah masyarakat Islam daripada terlibat perkara bertentangan hukum syarak dan norma masyarakat Islam di negeri ini.

“Ini dapat dibuktikan melalui jumlah tangkapan sebanyak 1,732 kes sepanjang tahun lalu yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor (1997).

“Daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 511 kes merupakan tangkapan kes khalwat dan 1,022 adalah jumlah individu yang ditahan kerana terlibat dengan kesalahan khalwat yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda sbyk RM3000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan Jaij termasuklah operasi harian, operasi bersama dan operasi bersepadu yang melibatkan agensi penguatkuasaan lain.

“Antara jenis kesalahan yang sering dilakukan termasuklah berjudi iaitu di bawah seksyen 18(1) serta kesalahan meminum minuman yang memabukkan di bawah seksyen 19(1) selain kesalahan khalwat di bwh seksyen 27(1)(a)(b),” katanya.

Aminolhuda berkata, dalam menguatkuasakan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, Jaij mendapat kerjasama yang baik daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, bagi memastikan masyarakat Islam tidak terlibat dengan perilaku dan perbuatan bertentangan hukum syarak, kami mengharapkan kerjasama daripada masyarakat awam membantu Jaij memberikan maklumat dan membuat aduan rasmi di Pejabat Agama Daerah atau di Ibu Pejabat.

Artikel Berkaitan:

“Segala aduan itu boleh dibuat melalui talian 07-223 5610 dan 07-228 2953. Jaij juga menyediakan talian bebas tol 1-800-88-3072 bagi memudahkan masyarakat Islam menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi,” katanya.