'Laksana tindakan radikal, bukan tukar presiden' - Noraini

Noraini ketika berucap pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden - Mempertahankan Institusi di Dewan Tun Hussein Onn, WTC pada Khamis. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Noraini ketika berucap pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden - Mempertahankan Institusi di Dewan Tun Hussein Onn, WTC pada Khamis. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu melakukan suatu tindakan radikal atau luar biasa bagi memulihkan kembali imej parti itu di mata rakyat dan cadangan menukar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah langkah wajar buat masa sekarang.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, menuding jari kepada mana-mana pihak disebabkan prestasi semasa UMNO dalam pilihan raya juga tidak membawa apa-apa kebaikan.

"Parti ini perlu dijenamakan semula imejnya, diperkasakan nilai dan persepsi negatif ini perlu dikikis segera.

"Kita sedar musuh tidak mahu melihat UMNO bangkit menyebabkan setiap ruang dan peluang digunakan untuk menjatuhkan presiden serta institusi ini.

"Dalam masa yang sama, kegagalan menangani persepsi negatif menyebabkan kita berada pada tahap sokongan yang terendah ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Himpunan Solidariti Wanita UMNO Bersama Presiden - Mempertahankan Institusi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

Pilihan raya negeri (PRN) pada 12 ogos lalu menyaksikan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi dipertandingkan iaitu 14 di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang selain satu di Kelantan.

Hasil daripada keputusan itu menyebabkan parti tersebut menerima pelbagai kritikan dan desakan rakyat agar Ahmad Zahid selaku Presiden meletakkan jawatannya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noraini, cubaan untuk merosakkan institusi itu bukan perkara baharu malah telah bermula sejak penubuhan parti itu lagi.

"Tidak pelik apabila presiden kita dikecam begitu hebat sekarang ini.

"Perlu diingat beliau (Ahmad Zahid) merupakan Presiden UMNO pertama yang tidak menguasai pentadbiran kerajaan sewaktu dilantik memegang jawatan," ujarnya.