DUN Johor tuntut 25 peratus hasil cukai dikembalikan kepada negeri

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mahu sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai yang disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dikembalikan bagi membolehkan lebih banyak keperluan pembangunan negeri diuruskan sendiri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri ketika ini turut membantu menyediakan dan menaik taraf pelbagai kemudahan milik agensi Persekutuan walaupun perkara itu bukan tanggungjawab hakiki negeri.
Katanya, bantuan berkenaan merangkumi kerja membaik pulih kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Muar yang berada dalam keadaan daif, menaik taraf sekolah, menyokong keperluan wad kecemasan serta pelaksanaan decanting klinik kesihatan.
"Kalau kita mampu, lebih banyak lagi yang mahu kerajaan negeri salurkan untuk membantu mereka yang berjuang di Johor.
"Namun ini bukan bidang kuasa dan tanggungjawab hakiki kerajaan negeri," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Jumaat.
Onn Hafiz menambah, kerajaan negeri turut membantu pembayaran doktor locum, menyediakan SV Healthcare Team, menaik taraf Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) serta membaik pulih Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Menurutnya, pendirian kerajaan negeri berhubung pemulangan hasil cukai itu adalah selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai yang disumbangkan Johor dikembalikan dan diuruskan kerajaan negeri.
Tuntutan berkenaan bukan perkara baharu apabila Pemangku Sultan Johor sebelum ini mencadangkan supaya antara 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor dikembalikan kepada negeri.
Pada Disember 2024, kerajaan negeri turut menyuarakan permohonan supaya 20 peratus hasil cukai berkenaan disalurkan semula bagi membolehkan Johor mempunyai ruang kewangan lebih besar untuk melaksanakan pembangunan.
Tuntutan itu kemudian diperkukuh kepada sekurang-kurangnya 25 peratus bagi membolehkan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan serta kemudahan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

