Tolong profesional, jangan terlalu ego

Terdapat dalam kalangan segelintir pemain EPL yang masih bimbang untuk kembali beraksi berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.
Terdapat dalam kalangan segelintir pemain EPL yang masih bimbang untuk kembali beraksi berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.
A
A
A

BARISAN pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) diminta bersikap profesional dan menerima secara terbuka cadangan penyambungan semula baki saingan liga di sebalik wujud kebimbangan pandemik Covid-19.

Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho berkata, setiap pemain terutama bintang dunia seharusnya memberi fokus terhadap persiapan pasukan masing-masing berbanding memikirkan isu di luar padang.

Menurutnya, penularan pandemik Covid-19 sewajarnya tidak dijadikan alasan kepada para pemain untuk tidak meneruskan rutin harian mereka sebagai pemain profesional.

“Ya sememangnya semua pihak berusaha sehabis baik bagi memutuskan rantaian Covid-19. Namun, dengan jaminan pengendali liga bahawa SOP (prosedur operasi standard) digariskan adalah yang terbaik, seharusnya ia memberikan keyakinan untuk kita mengakhiri saingan musim ini.

“Pemain-pemain sepatutnya menyambut baik kelonggaran diberikan kerajaan dengan kembali fokus kepada matlamat awal musim kelab masing-masing dan bukan mengalih kepada alasan bimbang mengenai jaminan keselamatan dan kesihatan dijangkiti Covid-19.

“Kita tidak boleh terlalu ego dalam perkara ini. Ya akan ada kecederaan dalam kalangan pemain apabila terpaksa menempuhi jadual perlawanan yang padat, namun itu antara realiti yang perlu diharungi setiap pemain dan pengurus musim ini.

“Tugas atau tanggungjawab pemain-pemain sekarang adalah menghabiskan baki saingan liga dan pada masa sama, memberikan aksi terbaik kepada kelab masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, beberapa bintang EPL tampil menyatakan kebimbangan masing-masing dengan cadangan pihak Liga Perdana untuk kembali menyambung baki saingan liga musim 2019/20 pada ketika ketidaktentuan status pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Secara jujur saya dan pemain-pemain Tottenham tidak sabar untuk menamatkan baki saingan liga yang tertangguh sejak 13 Mac lalu biarpun kami bakal berdepan cabaran normal baharu beraksi dengan beberapa SOP seperti tanpa penonton.

“Itu antara cabaran utama yang bukan hanya Tottenham sahaja perlu berdepan tetapi juga pasukan pencabar lain kerana semua tahu penyokong adalah pembakar semangat kami,” ujarnya yang kini mengemudi Spurs di tangga kelapan liga dengan 41 mata.