Gara-gara durian, emas melayang RM1,000

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MAKAN durian memang seronok, tetapi jangan sampai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan masyarakat berkumpul di tempat awam tanpa penjarakan sosial.Ironinya, tidak salah untuk menikmati raja buah tersebut, namun jangan terlalu taksub sehingga sanggup mengetepikan arahan kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang belum ada penawarnya.

Jangan dek sikap segelintir rakyat yang berdegil, usaha kerajaan memerangi pandemik tersebut musnah sekelip mata.

Salah satu kes misalnya, yang berlaku di Bayan Lepas, Pulau Pinang apabila lebih 40 individu dilaporkan melepak dan bersantai di sepanjang Pantai Seagate tanpa rasa bersalah.

Walaupun sudah lewat malam, namun mereka dikatakan masih ‘berlibur’ di tepi laut sambil mengambil minuman keras dan menikmati durian dalam keadaan mencurigakan.

Impaknya, mereka yang berusia 17 tahun hingga 50 tahun melibatkan seramai 30 lelaki dan 12 wanita itu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, meskipun sudah sedia maklum kesalahan melepak tanpa sebarang tujuan di tempat awam tetapi masih ada yang ingkar dengan arahan tersebut.

Pun begitu, kisah durian tidak terhenti setakat itu sahaja.

Disebabkan musim durian di negeri utara, maka wujud pula ‘pesta’ makan-makan di Balik Pulau sehingga menyebabkan 22 penggemar durian turut dikenakan kompaun baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Antara 22 individu yang dikenakan tindakan tersebut bergelar Datuk. Aduhai! Dek ingin melepaskan kempunan makan durian, bala pula yang dapat.

Ingatkan kisah durian sahaja, rupa-rupanya emas juga telah mengakibatkan individu tidak mematuhi SOP.

Kegagalan pemilik kedai emas memastikan pelaksanaan SOP berjalan lancar telah menyebabkan pelanggan yang sanggup berlaga-laga bahu ketika sibuk memilih barang kemas untuk digayakan pada Aidilfitri.

Tidak salah membeli barangan kemas, namun perlulah patuhi peraturan sedia ada. Jangan kerana emas pun, sanggup kena kompaun.

Operasi penguat kuasa yang dijalankan di Port Dickson, Negeri Sembilan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik kedai emas kerana tidak mematuhi penjarakkan sosial dalam kalangan pelanggan.Ada yang beranggapan kompaun RM1,000 itu membebankan rakyat tetapi jika dinilai jumlah tersebut masih rendah untuk dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan.

Ada ura-ura yang mengatakan jika masih ramai yang ingkar, jumlah kompaun boleh dinaikkan, namun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, jumlah masih kekal pada kadar RM1,000.

Menurut beliau, jumlah kompaun bagi pesalah yang ingkar PKPB masih dikekalkan pada kadar RM1,000 setakat ini.

Akta Pencegahan dan Pengawa-lan Penyakit Berjangkit 1988 masih diguna pakai atas kesalahan tersebut dan sekiranya jumlah kompaun ingin dinaikkan, akta itu perlu dipinda di Parlimen.

“Majoriti rakyat berpendapat kenapa nilai kompaun rendah berbanding negara lain. Memang kita ada bincangkan perkara ini. Jika ingin ubah, ia perlu dibawa ke Parlimen,” jelas beliau.

Namun, timbul tanda-tanya adakah tindakan kompaun itu mampu memberikan kesedaran. Sejauh mana pelaksanaannya boleh mengubah sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih degil.