Dicekup curi bateri jentera berat

Suspek ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes curi bateri jentera berat.
Suspek ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes curi bateri jentera berat.
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki dicekup polis di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Kolam Air, Dengkil, di sini, selepas dipercayai terlibat dalam kes curi bateri jentera berat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 3 petang, semalam.

Menurutnya, sebelum ini polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 49 tahun yang juga merupakan pemandu jentera berat yang menyedari dua biji bateri jentera beratnya jenis D6 telah hilang.

"Pengadu menyedari perkara itu pada Isnin lalu kira-kira jam 8 pagi semasa buat pemeriksaan di tapak projek pencawang Bukit Tampoi.

"Pemeriksaan lanjut pengadu juga mendapati terdapat kehilangan kabel dan bateri di jentera berat yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, semasa kejadian pengawal keselamatan sedang membuat rondaan di kawasan lain.

Katanya, dianggarkan kerugian bernilai RM3,000.

"Susulan itu, bertindak hasil maklumat dan risikan, seorang lelaki berusia 19 tahun berjaya diberkas dengan rampasan enam biji bateri pelbagai jenama.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.