Treler dari Singapura bawa bahan kimia tumpah

Anggota bomba melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Abu Bakar sehingga ke Plaza Tol Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Anggota bomba melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Abu Bakar sehingga ke Plaza Tol Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Johor hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebuah tangki mengandungi bahan kimia yang dibawa sebuah treler tumpah di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) menghala utara dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 11.28 pagi, treler berkenaan baru keluar dari Singapura dan dalam perjalanan menghantar bahan kimia itu ke sebuah kilang di Pasir Gudang untuk memproses cuka makanan.

Kejadian tersebut disedari pemandunya semasa berhenti di sebuah kawasan hentian rehat untuk memeriksa tayar belakang treler itu yang berasap.

Semasa melakukan melakukan pemeriksaan, pemandu berkenaan terlihat bahan kimia yang dibawa telah meleleh keluar kerana terdapat kebocoran pada tangki simpanan yang diperbuat daripada plastik.

Kejadian itu mengakibatkan permukaan jalan basah bermula dari kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah sehingga ke Plaza Tol Tanjung Kupang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, seramai 32 anggota dari BBP Iskandar Puteri, BBP Skudai, BBP Larkin dan Zon 1 Johor bergegas ke tempat kejadian.

"Kita turut dibantu dua jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan empat buah kenderaan utiliti.

"Pihak bomba mendapati bahan kimia jenis hidroklorikasid atau UN1789 berkepekatan 33 peratus telah tumpah sebanyak 200 liter di sepanjang jalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan sodaash dan semburan air di permukaan jalan termasuk air dalam longkang sekitar kawasan tumpahan dilakukan sehingga bahan kimia tersebut mencapai paras neutral.

Operasi berkenaan katanya, selesai pada jam 4.07 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan.