X

Kindly register in order to view this article
!

TNB tawar skim bayaran ansuran bil elektrik

A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan skim bayaran ansuran bulanan kepada pengguna domestiknya bagi bayaran bil elektrik mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac, April dan Mei.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, plan bayaran mudah itu diberikan secara automatik kepada 7.4 juta pengguna dengan tempoh bayaran selama enam bulan sehingga Disember 2020.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban pengguna yang terjejas ketika negara berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Begitupun selain bayaran ansuran bagi bil elektrik dalam tempoh tiga bulan itu, pengguna juga perlu membayar bil semasa mereka.

“Pengguna digalakkan untuk datang ke Kedai Tenaga atau menghubungi talian TNB Careline 1-300-85-5454 untuk memperincikan bil dan cara bayaran ansuran yang perlu dilakukan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kedai Tenaga TNB di Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Mengulas lanjut, Mahdzir turut memaklumkan, sepanjang tempoh PKP, kadar penggunaan elektrik sektor kediaman meningkat kepada 30 sehingga 50 peratus susulan rakyat mematuhi arahan PKP untuk kekal berada di rumah.

Katanya, TNB telah melakukan penyelarasan bil sepanjang tempoh PKP dengan menggunakan kaedah prorata bagi memastikan pengguna tidak terlebih caj.

"Ia berdasarkan penggunaan elektrik setiap bulan kerana bil sebenar yang diberikan akan dibahagi sama rata untuk jumlah bulan tempoh PKP.

"Penggunaan bulanan inilah yang didarabkan dengan kadar blok tarif bagi setiap bulan dan kaedah ini telah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, sebanyak 119 Kedai Tenaga sudah kembali beroperasi setakat ini di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala enam lagi Kedai Tenaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Semenanjung hanya akan dibuka semula pada 9 Jun nanti.

Katanya, Kedai Tenaga adalah salah satu saluran untuk pengguna mendapat maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.

“Sehingga kini, data TNB menunjukkan 42 peratus pelanggan yang datang adalah untuk mendapatkan salinan bil, manakala 58 peratus lagi adalah berkaitan hal lain perkhidmatan TNB seperti pembayaran bil, menutup akaun, pertanyaan tentang bil serta pelarasan dan hal lain.

"Justeru, kami mengalu-alukan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pelarasan bil mereka untuk ke Kedai Tenaga atau menghubungi TNB Careline selain mencari jalan untuk mengurangkan pengguna elektrik di kediaman masing-masing,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus